HIDUP berjiran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain adalah perkara yang sebaik-baiknya dilakukan agar hubungan yang terjalin sentiasa harmoni.

Bagaimanapun, jika tidak bernasib baik, kita mungkin berhadapan jiran yang menyusahkan.

Seperti yang terjadi kepada seorang personaliti media sosial yang sering mengetengahkan isu anak-anak autisme, dikenali Adam’s Family.

Baru-baru ini dia meluahkan rasa kecewa apabila mereka sekeluarga terpaksa berpindah kerana kontrak sewaan kediamannya tidak lagi diperbaharui.

Perkara tersebut difahamkan berlaku berikutan aduan yang dibuat oleh jiran-jiran mereka yang kurang menyenangi kehadiran anak istimewanya, Adam yang menghidap autisme.

“Buat dua jiran kiri dan kanan, kami tau apa yang korang lakukan dan jenis hati budi anda. Tetapi jangan risau. Hasrat anda telah menjadi kenyataan. Anda telah berjaya membuat tuan rumah tidak memperbaharui penyewaan.

“Kami akan keluar hujung bulan ini. Hasrat anda telah menjadi kenyataan. Anak saya tidak akan menyusahkan awak lagi. Mohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Semoga hidup aman dan sejahtera selepas ini,” coretnya.

Luahan hati itu dibuat bapa Adam, Iman Wan Tuck Meng menerusi sebuah hantaran di laman Instagram untuk tatapan pengikut media sosialnya.

Iklan

Tulis Iman, pemilik rumah sewa yang didiami mereka berasa tertekan kerana aduan yang dibuat oleh jiran-jiran kepadanya sehingga dia mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak sewaan Iman dan keluarga.

Ujarnya, walau apapun yang terjadi, dia dan keluarga berasa reda dengan apa yang berlaku dan yakin dengan takdir ALLAH SWT.

Iklan

“Saya percaya ALLAH mempunyai perancangan yang lebih baik. Kami reda. Kami perlu bekerja lebih keras dan terus mendidik tentang kesedaran, penerimaan dan pemahaman autisme. Insya-ALLAH,” luah Iman.

Adam’s Family dikenali di media sosial Instagram kerana sering berkongsi aktiviti harian keluarga mereka di samping mendidik masyarakat mengenai penyakit autisme.