PERTUNANGAN adalah satu ikatan di mana pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan. Pertunangan menyaksikan ikatan cinta antara dua pihak melangkah ke fasa seterusnya sebelum perkahwinan.

Lazimnya, pertunangan dilaksanakan selepas adat merisik. Namun banyak yang terjadi merisik dan bertunang diadakan sekali gus. Untuk pertunangan, sebuah majlis ringkas akan diadakan oleh keluarga sebelah perempuan sebagai meraikan kedatangan wakil keluarga pihak lelaki.

Hantaran berupa tepak sirih, makanan dan sebentuk cincin akan dibawa oleh pihak lelaki manakala pihak perempuan akan membalasnya dengan jumlah dulang yang lebih, misalnya lima berbalas tujuh.

Biasanya selepas selesai perbincangan dan mencapai persetujuan mengenai majlis pernikahan, upacara menyarungkan cincin kepada bakal pengantin perempuan oleh wakil pihak lelaki sama ada ibu atau nenenyak dilaksanakan sebagai kemuncak majlis.

Namun, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau total lockdown yang sedang berlangsung di seluruh negara, mungkin ramai yang terpaksa menangguh perancangan untuk mengadakan majlis pertunangan.

Bagaimanapun, Nurfarahain dan tunangnya, Amir Hazim, 26, yang telah mengikat tali pertunangan semalam menerusi panggilan video Microsoft Team membuktikan lockdown bukan satu halangan.

Semasa ditemuramah SinarPlus, Nurfarahain atau mesra dengan panggilan Ain berkata dia dan Amir telah merancang untuk bertunang. Namun disebabkan penularan wabak Covid-19, mereka menukar peranacangan pada saat akhir.

“Pada awalnya kami nak tunang semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu iaitu 22 Mei 2021. Tak sangka juga selepas itu PKP mereka. Kami tunggu habis PKP tapi tak tahu sampai bila,” katanya yang berada di Taman Daya, Johor Bharu, Johor manakala tunangnya pula di Sijangkang, Klang, Selangor.

Perkenalan sejak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi lima tahun lalu membawa kepada hubungan yang lebih serius.

Selalunya dalam adat Melayu, pertunangan dan perkahwinan perlu dilaksanakan dengan penuh adat. Bertuahnya pasangan ini kerana memiliki ibu bapa dan keluarga yang sangat memahami situasi terkini negara dan kekangan yang dihadapi. Justeru ibu bapa kedua belah pihak membenarkan pertunangan anak tersayang berlangsung dalam talian.

“Saya pernah cadangkan untuk bertunang online kepada ibu bapa, mula-mula mereka tidak setuju.

“Selepas tunang saya hubungi ibu bapa saya pada saat-saat akhir dan memikirkan PKP dan lockdown yang lambat lagi berakhir, mereka akhirnya setuju,” kata Ain yang bertugas sebagai penjawat awam di Johor manakala tunangnya di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor.

Menurut Ain, majlis risik dan pertunangannya tidak hanya disaksikan dua buah keluarga sahaja. Semasa panggilan video berlangsung, ahli keluarga lain juga turut serta menyaksikannya menerusi panggilan video di WhatsApp.

 

Majlis pertunangan pasangan ini berlangsung selama 30 minit di Google Team dan hasil perbincangan keputusan tentang perkahwinan seperti tarikh nikah dimeterai. Malah upacara menyarungkan cincin juga turut diadakan. Cincin yang terlebih dahulu diposkan oleh tunangnya disarungkan oleh ibu Ain.

Kejayaan pasangan ini merealisasikan pertunangan dalam talian membuktikan sebenarnya tiada halangan untuk melangsungkan pertunangan semasa PKP.

Walaupun ia tidak dapat dilakukan secara bersemuka, ia tetap boleh dilakukan dengan cara ‘normal baru’ iaitu panggilan video.

Iklan

“Saya menasihatkan bagi yang merancang bertunang secara online, pertama sekali mesti berbincang dengan ibu bapa masing-masing kerana bimbang ada yang tidak setuju. Kalau mereka setuju tidak jadi masalah sebab online sangat mudah dan jimat.

“Saya sekalikan merisik dan bertunang. Untuk masa sekarang ini (PKP) bagi saya cara ini sangat sesuai,” kata Ain.

Diharapkan bagi korang yang sedang merancang untuk bertunang, bolehlah mencadangkan pertunangan secara dalam talian ini kepada keluarga masing-masing.

Sementelah, usaha mempermudahkan urusan pernikahan juga dilakukan oleh pihak jabatan agama negeri iaitu secara dalam talian, usah jadikan sekatan pergerakan atau lockdown sebagai halangan.

Perkongsian Ain di Twitter mengenai pertunangan online mendapat lebih 20,000 tanda suka. Warganet terinspirasi dengan kisah pasangan ini.

Iklan

“Beb, awak perlu tunang sebegini dengan Abe Syuk awak,” kata pengguna Twitter 1.

“Lockdown bukanlah halangan,” kata pengguna Twitter 2.

“Tahniah. Moga semua dipermudahkan, insya ALLAH,” kata pengguna Twitter 3.

Sumber: @farahainjeman