Home Kisah Masyarakat Cerita Orang Kita #SiBibirMerah: Kontroversi dakwaan abai SOP… Neelofa, Datuk Siti dan instafamous, guris hati netizen

#SiBibirMerah: Kontroversi dakwaan abai SOP… Neelofa, Datuk Siti dan instafamous, guris hati netizen

0
#SiBibirMerah: Kontroversi dakwaan abai SOP… Neelofa, Datuk Siti dan instafamous, guris hati netizen

MARAH, meluat dan mengecewakan.

Rata-rata warga maya menzahirkan ketidakpuasan hati sedemikian terhadap golongan selebriti dan instafamous yang dikatakan mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Back to back, Bibir Merah membaca laporan media tempatan kebelakangan ini mengenai ‘golongan kayangan’ (label diberikan netizen) dipanggil hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis dan kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan melanggar SOP.

Bahkan, segelintir daripada mereka didapati bersalah dan dikenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM60,000.

Mungkin nilai kompaun tersebut tidak memberikan apa-apa makna buat golongan selebriti dan instafamous.

Namun begitu, bagi Bibir Merah sayangnya gara-gara insiden sedemikian ia mencalarkan nama baik mereka yang selama ini menjadi ikon ramai dalam bidang masing-masing.

Bibir Merah berpendapat bukankah lebih manis sekiranya tingkah laku berjalan seiring dengan penampilan diri. Barulah korang terus dihormati dan disegani.

Ini tidak tanpa rasa bersalah mengabaikan SOP, seolah-olah penguatkuasaan peraturan hanya terpakai untuk rakyat biasa, sementelah ‘golongan kayangan’ bebas melakukan apa sahaja.

Cubalah fikir secara waras SOP yang dilaksanakan bukan saja-saja digariskan. Sebaliknya, ia bertujuan memerangi penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat hari demi hari.

Jika masing-masing mengambil sikap sambil lewa pada konsep #kitajagakita, rasanya mustahil untuk negara ini bebas daripada pandemik.

Rentas negeri Neelofa, PU Haris

neelofa
Perkongsian pasangan selebriti ini misalnya, yang memuat naik video bermain jet ski dan menaiki kereta kabel ketika ‘merentas negeri’ ke Langkawi, Kedah mendapat kecaman ramai.

Masakan tidak, tatkala masyarakat terpaksa menahan rindu menebal terhadap ibu bapa di kampung berikutan aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan, Neelofa dan suaminya, PU Riz atau nama sebenar Haris Ismail pula tampak berseronok di pusat peranginan berkenaan.

Itu belum lagi perdebatan dalam kalangan netizen mengenai tiada penjarakan fizikal pada majlis pernikahan mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Rentetan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), akhirnya Neelofa dan PU Riz dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000.

Neelofa dan keluarga dikompaun RM60,000! Ini senarai kesalahanSementara itu, seramai 20 ahli keluarga Neelofa turut didenda RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM30,000 kerana tiada penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter semasa berlangsungnya majlis akad nikah.

Berkaitan kunjungan ke Langkawi, pasangan itu juga dilaporkan melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri diberikan pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama. Ia berikutan terdapat aktiviti berada di luar skop kebenaran diberikan polis.

Belum reda dengan isu kompoun Neelofa dan suami sekali lagi terpalit kesalahan rentas negeri berhubung dakwaan kunjungan mereka ke sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan.

Dek penularan gambar dan video dalam media sosial, pasangan berkenaan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai selama empat jam pada 4 Mei lalu.

Majlis tahnik Tok Ti, Datuk K

siti nurhaliza
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin atau mesra dipanggil Tok Ti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) turut mengundang amarah netizen baru-baru ini.

Mereka mempersoalkan kehadiran menteri dan penceramah yang dikatakan merentas negeri semata-mata menghadiri majlis tahnik anak keduanya, Muhammad Afwa di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa Ampang, Selangor pada 26 April lalu.

Antara VVIP yang dikatakan hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; penceramah, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal.

siti nurhalizaSehubungan itu, polis telah memanggil lapan individu setakat ini untuk merakam keterangan berhubung majlis tahnik yang didakwa melanggar SOP PKPB.

Di sebalik kontroversi yang berlaku pelantun lagu Purnama Merindu menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang mengumpul pahala.

Menerusi satu hantaran di Instagram Stories (IGS), beliau menulis: “Alhamdullilah, saya patut tengah seronok kumpul pahala banyak-banyak sepuluh malam terakhir.

“Kata ustaz bila berhadapan dengan dugaan ini. Betullah ustaz, dapat pahala free berganda-ganda pula tu…alhamdullilah.”

siti nurhalizaBagaimanapun, segelintir netizen menyifatkan tindakan beliau itu umpama provokasi, sekali gus merobek hati peminat yang selama ini mendoakan dan menyokong perjalanan seninya.

Instafamous Hafiz Mahamad

[VIDEO] Video alasan rentas negeri versi Hafiz Mahamad cuit hati netizen
Memandang ringan pada pematuhan SOP, secara tidak langsung telah memakan diri instafamous dan usahawan muda tersebut.

Beliau telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 gara-gara tidak memakai pelitup muka ketika menjalani penggambaran video ‘alasan rentas negeri’ di Bukit Rimau, Presint 3, Putrajaya.

Pada masa sama, dilihat mempersendakan alasan-alasan diberikan bagi tujuan rentas negeri.

Pesanan Bibir Merah, cukup-cukuplah mengguris hati masyarakat dalam situasi pandemik hari ini.

Ingat ya, Covid-19 adalah virus jahat yang membunuh, bukannya demam biasa bisa beransur kebah hanya dengan menelan dua biji pil paracetamol.

Sebab itu, setiap masa pihak MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkali-kali menasihatkan masyarakat agar patuh pada SOP ditetapkan.

Kehidupan kita hari ini pun tidak seperti dahulu lagi. Rakyat kini terpaksa membiasakan diri menjalani rutin harian norma baharu. #kitajagakita