PEMERGIAN perwira negara, Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 25, mendapat perhatian ramai.

Tiada siapa menduga sesi latihan yang diikutinya itu adalah yang terakhir. Apatah lagi membayangkan seorang bayi baru berusia sembilan bulan kehilangan kasih sayang bapa.

Lans Koperal Mohamad Azrin adalah anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan bertugas sebagai anggota tinjau dari Kompeni Pandu Arah PANDURA (Para).

Berikut adalah kronologinya kejadian hingga pengebumian jenazahnya disempurnakan.

24 Ogos 2021

Lans Koperal Mohamad Azrin memulakan latihan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kawasan Am di Bera, Pahang. Latihan tersebut difahamkan berjalan selama 14 hari.

Eksesais berkenaan melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik TDM.

29 Ogos 2021

Beliau melalui latihan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai. Bagaimanapun, pada Ahad kira-kira jam 4.40 petang, Mohamad Azrin lemas.

Mohamad Azrin dilihat tenggelam di tebing oleh ahli pasukan dan cuba ditarik naik namun gagal. Beliau telah berjaya naik ke permukaan air tetapi dilihat tenggelam semula.

Cubaan menarik kali kedua oleh rakan  juga gagal. Mohamad Azrin dikatakan terus tenggelam dan hilang dari pandangan.

Difahamkan, latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dari Kampung Batu Bor ke Kampung Bohor Baru adalah merupakan sebahagian daripada modul eksesais.

29 Ogos 2021, 4.50 petang

Susulan daripada itu,anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang.

30 Ogos 2021

SAR diteruskan dengan gemblengan tenaga dan bantuan pelbagai pihak. Selain TDM dan JPBM, operasi tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, agensi-agensi dan penduduk kampung berhampiran.

31 Ogos 2021

Pada ulang tahun kemerdekaan negara ke-64, isteri Mohamad Azrin, Nur Aqilah Syafiqah memuatnaik ucapan kemerdekaan dan menitipkan doa buat suami tercinta.

“Selamat Hari Kemerdekaan untuk perwira saya Mohamad Azrin. Sama-sama kita doakan supaya suami saya jumpa dalam keadaan selamat,” tulisnya.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli menaiki bot meskipun dalam keadaan hujan bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat Mohamad Azrin.

1 September 2021

TDM menerima maklumat penemuan jasad Mohamad Azrin oleh penduduk Kampung Serengkam, kira-kira kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada jam 8.15 pagi.

Jasadnya kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.

Penemuan itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Sel Perhubungan Raya Tentera Darat pada Rabu.

Allahyarham yang berasal dari dari Sungai Petani, Kedah meninggalkan seorang balu, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 23, dan seorang anak perempuan.

Iklan

Solat jenazah dilakukan di Surau Taman Desa Aman manakala pengebumian Allahyarham disempurnakan di Sungai Petani, Kedah dengan penuh penghormatan dan adat istiadat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Facebook menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Urusan pengebumian jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin di Kedah hari ini diuruskan sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia dan dilaksanakan dengan penuh adat-istiadat ketenteraan.

“Takziah sekali lagi kepada Isteri dan ahli keluarga Allahyarham. Jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan negara akan dikenang dan dihargai sampai bila-bila,” kongsi beliau.

Iklan

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Mohamad Azrin dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ISTANA NEGARA (@istana_negara)

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilihat turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ismailsabri60 (@ismailsabri60)