SEPASANG suami isteri telah terlibat dengan kemalangan jalan raya di satu lokasi di lebuhraya baru-baru ini. Melalui perkongsian mangsa yang dikenali sebagai Allan Cham Wei Lun di Facebook, beliau dan isteri terlibat di dalam kemalangan pada 26 Oktober yang lalu.

Bagaimanapun isteri lelaki ini dilaporkan terkorban dalam nahas tersebut dan meninggal dunia. Justeru lelaki ini menyeru dan merayu orang ramai yang mempunyai rakaman video daripada kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam ketika kejadian untuk berhubung dengannya bagi memudahkan urusan laporan kemalangan.

“Saya, Allan Cham Wei Lun merendahkan diri untuk meminta jasa baik anda semua untuk sebarkan muat naik ini.

“Sebagaimana yang anda semua ketahui, saya dan mendiang isteri terlibat dalam kemalangan maut dan kemalangan ini telah meragut nyawa isteri tercinta.

“Saya sedang mencari mana-mana pihak yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang merakamkan insiden kemalangan di sekitar KM 129.5 (arah Johor Bahru menghala Kuala Lumpur) Lebuhraya Utara Selatan pada waktu lingkungan 5.45 petang pada 26 Oktober 2022.

“Semoga Tuhan merahmati dan membalas budi baik anda semua. Sekian, terima kasih,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pengguna jalan raya yang mempunyai rakaman kemalangan semasa di lokasi kejadian, diharapkan dapat menghubungi Allan dalam kadar segera untuk permudahkan urusannya.

Kamera papan pemuka dalam kenderaan bukan lagi satu kehendak tetapi kini menjadi satu keperluan. Umpama kotak hitam pesawat, peranti ini berkeupayaan merekodkan pelbagai situasi kejadian di jalan raya.

Bagi golongan wanita pula, penggunaan kamera papan pemuka kenderaan yang diletakkan di dalam kereta mampu menjadi penyelamat terutama melibatkan kes buli di jalan raya.

Segala kejadian yang berlaku di jalan raya dapat dirakam dalam video dan boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terjadi sesuatu tragedi.

Sama ada kes kecurian, kemalangan, bencana alam dan sebagainya, segalanya boleh dirakam malah keselamatan pengguna juga akan lebih terjamin.

Iklan

Ini beberapa sebab mengapa wanita mesti ada kamera papan pemuka di dalam kereta:
– bukan sahaja boleh digunakan untuk merekodkan kemalangan di jalan raya tetapi juga boleh merekodkan kejadian-kejadian lain seperti jenayah, kes ragut, kes keganasan dan serangan fizikal dan sebagainya.
– sebagai bahan bukti dalam mahkamah.
– rakaman video daripada papan pemuka boleh digunakan ketika membuat laporan di balai polis ketika terlibat dalam kemalangan.
– rakaman video juga boleh digunakan ketika tuntutan insurans kemalangan.
– bukan sahaja boleh merakam gambar tetapi juga video dan juga suara atau bunyi.
– bagi wanita yang kerap keluar bersendirian, penggunaan kamera papan pemuka dapat menjadi seperti ‘penjaga.’

Kita mungkin terpaksa berbelanja lebih sedikit untuk memasang kamera papan pemuka di dalam kenderaan.

Fikirkan kebaikan yang boleh dimanfaatkan melalui pengunaan peranti ini dalam membantu ‘menjaga’ keselamatan diri serta memudahkan urusan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Sumber: Allan Cham Wei Lun

Iklan

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi