SEMUA sedia maklum keadaan banjir di pantai timur kini semakin buruk khususnya di Pahang.
Oleh demikian, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir di daerah Raub, Pahang.
Menurut Unit Media Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan baginda meluangkan masa kira-kira lima jam bermula 11.30 pagi bagi melawat 24 pusat pemindahan sekitar daerah Raub bagi melihat dan mendengar sendiri rintihan penduduk.
(MUIP) serta meninjau sendiri kawasan yang dinaiki air dengan diberikan taklimat ringkas daripada pihak berkuasa.
Antara pusat Pusat Penempatan Sementara (PPS) dilawati Tengku Hassanal ialah Dewan Dato' Seriwa Dong, Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Dewan Serbaguna Gali Hilir, Balai Raya Kampung Sungai Pasu, Balai Raya Kampung Durian Sebatang, Surau Al-Hidayah Kampung Melayu Sempalit, Dewan Kegiatan Gali Tengah, Masjid Kuala Temau, Dewan Kampung Pia dan Balai Raya Kampung Jeruas.
Baca juga Doktor Malaysia hasilkan tudung pakai buang bersteril pertama di UK tercalon British Muslim Award
Ketika lawatan tersebut, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Abd Aziz Mat Kiram turut mengiringi baginda.
Sementara itu, Instagram @houseofpahang turut berkongsi sebuah kenyataan nasihat Tengku Hassanal untuk rakyat Pahang.
"Saya meminta supaya rakyat saya menjaga kesihatan dan keselamatan diri dengan tidak bermain air banjir atau menghampiri tempat berbahaya.
"Tunggu ketibaan bantuan dan patuhi arahan untuk berpindah ke PPS serta bersabar dengan usaha pihak berkuasa.
"Semoga Allah SWT sentiasa melindungi rakyat saya," doa baginda.
Sumber : Unit Media Pejabat Sultan Pahang & Instagram houseofpahang