UNGKAPAN tangan mengayun buaian akan menggoncang dunia begitu sinonim bagi dua suri rumah yang kini bergelar usahawan berjaya. 

Kegigihan mereka menceburi bidang perniagaan ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mengubah nasib keluarga untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan dapat menjalani kehidupan lebih baik. 

Nur Akmal Alias, 42 yang berasal dari Kampung Binjai di Kemaman berkongsi kisah suka duka sebelum mengusahakan perniagaan keropok di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman. 

Mewarisi perusahaan keropok daripada arwah bapanya, Nur Akmal yang sebelum ini bergelar suri rumah sepenuh masa meletakkan harapan besar untuk memajukan lagi perniagaan tersebut. 

“Sebelum dapat tapak niaga di R&R Perasing, saya buat pelbagai kerja untuk membantu suami. Masa tu dia bekerja bahagian logistik di kawasan perindustrian Teluk Kalong di Kemaman. 

“Bila dah dapat tapak niaga, saya masih lagi bertatih dan tidak ada banyak ilmu dalam perniagaan. Ketika itu, anak tiga orang dan masih kecil lagi,” katanya.

“Anak bongsu saya kerap kena sawan dan tidak boleh duduk dalam cuaca panas. Jadi, tiada tempat nak tinggalkan dia dan terpaksa bawa bekerja. Saya terpaksa mengayun buaian untuk dia tidur sambil berniaga dan waktu itu nak dapat untung RM10 sehari pun susah,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui sempena Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau Jelajah Jelita di Mesra Mall, di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Menurut Nur Akmal, dia pernah menolak tawaran menyambung pelajaran ke United Kingdom (UK) atas faktor kewangan keluarga. 

Bagaimanapun, anak sulung dari 10 beradik itu berjaya membuktikan bahawa usaha gigih tanpa jemu akhirnya membuahkan hasil bermakna. 

“Saya bersyukur, lepas belajar dan sertai kursus dalam bengkel yang disediakan pihak RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) perniagaan lebih teratur dan sistematik. 

“Kini saya dapat menghasilkan pelbagai variasi keropok antaranya keropok keping, keropok lekor vacum dan keropok goreng vacum,” katanya yang mempunyai sembilan tahun pengalaman dalam perniagaan tersebut.

Baca juga: Kak Ell ambil pusing teguran anak demi jadi ibu terbaik. Usahawan terkenal ini juga berkongsi cerita jatuh bangun bisnesnya

Nur Akmal yang pernah menolak tawaran menyambung pelajaran ke United Kingdom (UK) atas faktor kewangan keluarga, kini berjaya sebagai usahawan keropok dengan bimbingan RISDA.

Nur Akmal yang pernah menolak tawaran menyambung pelajaran ke United Kingdom (UK) atas faktor kewangan keluarga, kini berjaya sebagai usahawan keropok dengan bimbingan RISDA.Bagi seorang lagi usahawan bimbingan RISDA, Che Zulilawati Che Busu, 40, kejayaan yang dicapai tersebut berkat kesabaran dan rezeki dikurniakan ALLAH SWT. 

“Saya memulakan perniagaan karipap mini pada 2016, sambung perniagaan daripada kedua orang tua saya. Selepas arwah ayah meninggal dunia, ibu mengalami masalah penglihatan, tidak boleh melihat dan tidak mampu lagi meneruskan perniagaan. 

“Waktu itu rasa terpanggil untuk teruskan perniagaan tersebut. Belajar daripada ibu, saya memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan di rumah sewa. 

Iklan

“Sebelum ini susah sangat nak hasilkan karipap sebab perlu proses isi ikan untuk dijadikan inti secara manual, sekarang tidak lagi sebab dah ada mesin,” kata ibu tiga anak yang berasal dari Kampung Pulau Ribu, Jerteh di Besut.

Che Zulilawati menunjukkan sebahagian produk yang dihasilkan ketika menyertai pameran sempena program TVET Jelajah Jelita di Dewan Serbaguna Mesra Mall di Kemaman.

Menurut Che Zulilawati, perniagaan kini semakin melonjak selepas dia menjual produk secara dalam talian dan menggunakan sistem ejen. 

“Perniagaan saya semakin berkembang. Ia ditambah dengan bantuan geran dalam bentuk kewangan dan peralatan bantuan perniagaan daripada RISDA. 

“Saya bersyukur kerana kini sudah tidak menggunakan bilik kecil di rumah sewa untuk menghasilkan karipap sebaliknya memiliki sebuah kilang untuk memproses produk bersebelahan dengan kediaman yang dibina baharu. 

“Dalam masa sama, saya juga dapat membantu menambah pendapatan suami yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji sekitar RM900,” ujarnya. 

Che Zulilawati turut menghasilkan beberapa produk lain, antaranya popia simpul, serunding dan kerepek cheese yang mengandungi dua pilihan perisa iaitu pedas dan salted egg.

Iklan
Che Zulilawati bersama seorang pekerja ketika menyertai pameran
Dua usahawan berjaya bimbingan RISDA, Nur Akmal (kanan) dan Che Zulilawati ketika menyertai Forum Meja Jelita, sempena program TVET Jelajah Jelita di Dewan Serbaguna Mesra Mall di Kemaman.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!