DEEPAVALI dilihat agak suram tahun ini akibat penularan pandemik Covic-19 walaupun perayaan itu hanya berbaki dua hari lagi sebelum ia disambut Sabtu ini.

Namun, sambutan Deepavali buat keluarga L. Linda Kasturi dan R. Karthik tahun ini lebih bermakna apabila mereka akan menyambut perayaan itu Sabtu ini dengan kehadiran ’ayah dan ibu baharu’ yang berbeza bangsa dan agama.

Memetik portal media tempatan, lebih unik, Linda dan suaminya, Karthik, masing-masing berusia 39 dan 35 tahun itu turut mempelawa Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan Rohayati Salleh, 46, yang mesra dipanggil ayah dan ibu untuk tinggal bersama sejak enam bulan lalu, walaupun mereka tidak pernah mengenali sebelum ini.

Bercerita lanjut mengenainya, Linda berkata, Mohamad Fakhrulzaman dan Rohayati hanya dikenali ketika beliau dan suami yang menjalankan perniagaan perabot terpakai, ingin membeli sebuah peti ais yang dijual pasangan itu ekoran kesempitan hidup.

Kehidupan mereka terjejas teruk selepas Mohamad Fakhrulzaman yang bekerja sebagai tukang masak diberhentikan kerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Niat saya ketika itu adalah hanya untuk membeli peti ais namun terbit rasa simpati terhadap nasib ‘ayah’ kehilangan kerja di sebuah restoran sejak PKP dan keadaan itu memaksa mereka menjual barangan perabot untuk menyara hidup dan membayar sewa rumah.

“Saya kemudian mengajak ayah dan ibu tinggal bersama saya kerana rumah saya mempunyai ruang yang cukup luas dan selesa baginya,” kata Linda.

Seperti prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, kehidupan kesemua mereka penuh dengan toleransi dalam pelbagai aspek termasuk dalam soal keagamaan dan makanan meskipun berbeza agama dan bangsa.

Kenal ketika membeli peti sejuk, Linda sambut Deepavali dengan 'ayah dan ibu baharu' berbeza bangsa, agama

“Soal makan minum tiada masalah kerana penyediaan makanan di rumah adalah halal dan bersih. Saya dan keluarga juga menghormati kepercayaan dan agama dianuti oleh ibu dan ayah dengan menyediakan ruang khas solat kepada mereka,” katanya dan menambah beliau turut menjaga ibunya S.Kamala Devi, 60.

Ibu kepada dua orang anak itu yang berusia 10 bulan dan 11 tahun itu berkata, kehadiran pasangan berkenaan telah ‘melengkapkan’ lagi keluarganya dan bertekad untuk menjaga mereka selama yang mampu.

Iklan

“Biarlah ibu dan ayah berada di sini. Saya juga ada niat untuk membina sebuah rumah di sebelah rumah saya ini kerana anak-anak sudah mula rapat dan sangat menyayangi mereka,” katanya dan menambah sambutan Deepavali kali ini akan disambut secara sederhana berikutan pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, Mohamad Fakhrulzaman yang menghidap angin ahmar sejak tahun lepas berkata, keluarga berkenaan melayannya dan isteri seperti keluarga sendiri malah dia sendiri berasa selesa dan tidak kekok bergaul walaupun berlainan bangsa dan agama.

Kenal ketika membeli peti sejuk, Linda sambut Deepavali dengan 'ayah dan ibu baharu' berbeza bangsa, agama

Iklan

“Linda dan keluarganya banyak membantu saya dan isteri selain menjaga kami dengan baik. Saya amat terhutang budi kepada Linda kerana sanggup membawa saya tinggal bersama dengan keluarganya dan makanan diberikan halal. Saya tidak kisah apa orang luar nak kata tetapi saya dan keluarga ini sahaja yang tahu betapa erat dan kasihnya kami sekeluarga,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak berusia antara tujuh hingga 24 tahun itu berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada kesemua anak-anaknya dengan empat daripadanya berada dalam jagaan ibu kandungnya di Maran, Pahang, manakala seorang lagi di bawah jagaan ibu kepada isterinya di Indonesia kerana bersekolah di sebuah madrasah di Jawa Timur.

BERNAMA