Kronologi pingat emas Ziyad ditarik, rekod dunia baru terbatal, berikut 10 info mengenainya

A
A
A

PENARIKAN semula pingat emas daripada atlet lontar peluru paralimpik Malaysia, Ziyad Zolkefli menimbulkan kontroversi susulan terlewat memasuki call room sebelum acara bermula.

Keputusan kegagalan rayuan tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker di laman Facebook rasminya.

Keputusan berkenaan dibuat oleh pengadil pertandingan ekoran menerima satu bantahan daripada atlet Ukraine berhubung ketiga-tiga atlet tersebut lewat untuk melaporkan diri.

Isu kelewatan untuk melaporkan diri adalah bertentangan dengan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5 (Failure To Report To The Call Rooms).

Bagaimanapun, keputusan Ziyad serta atlet dari Ecuador dan Australia telah diputuskan sebagai DNS (Did Not Start). Sayang seribu kali sayang, penat lelah Ziyad untuk ke sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan lemparan  Ziyad yang mencatat 17.94m pada pusingan terakhir secara automatik terbatal.

Apa sebenarnya yang berlaku sehingga jaguh sehebat ini boleh dikira disqualified?

Berikut adalah kronologi kontroversi dilalui Ziyad seperti yang dikongsikan Datuk Seri Ti Lian Ker:

1-Kejadian tersebut terjadi adalah kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlet masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.

2-Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan tersebut yang agak padat dengan atlet-atlet dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlet tersebut telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.

3-Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlet tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan. Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat ( under protest ) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan seperti tersebut di atas.

4-Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia telah menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan atlit negara dan atlet Ecuador dan Australia dan pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlit tersebut adalah bersyarat dan akan dianggap DNS.

5-Susulan itu, Pegawai Malaysia termasuk Ecuador dan Australia diminta hadir sekiranya ingin membuat rayuan terhadap keputusan pengadil tersebut.

6-Pada ketika itu Ziyad telah pun mencatatkan keputusan pecah rekod seperti yang disaksikan oleh seluruh dunia.

7-Kontinjen Malaysia diketuai oleh Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman bersama-sama delegasi dari Ecuador dan Australia mengemukakan penjelasan dan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pertandingan Para Olahraga dengan memberikan justifikasi-justifikasi yang diharapkan dapat dipertimbangkan supaya penyertaan dan catatan yang dibuat oleh ketiga-tiga atlet tersebut sepatutnya dibenarkan.

8-Jelas Lian Ker, bantahan Ukraine tersebut sepatutnya bukanlah satu kesalahan yang disengajakan selain dari ketiga-tiganya telah pun dibenarkan bertanding.

9-Bagaimanapun, rayuan Malaysia, Ecuador dan Australia telah ditolak oleh Juri Rayuan Para Olahraga World Para Athletics. Keputusan juri tetap memihak kepada keputusan awal pengadil yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh ketiga-tiga atlet tersebut.

10-Ketua kontinjen Malaysia meneruskan rayuan Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pagi tadi dant turut memaklumkan bahawa sekiranya mesyuarat tersebut turut tidak memihak kepada Malaysia, keputusan sebelum ini adalah kekal.

Dalam pada itu, Lian Ker turut memaklumkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara tersebut agar penyertaan dan catatan mereka bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catatan rasmi kejohanan tersebut.

Namun demikian, bantahan tersebut hanya boleh dikemukakan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir. Sementara itu rakyat Malaysia terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan.

Ziyad bukanlah nama asing dalam acara lontar peluru F20 paralimpik. Beliau merupakan pemegang rekod dunia.

Pada Kejohanan Para Atlet Dunia 2017, Ziyad telah membuat lemparan sejauh 17.29m sekali gus memecahkan rekod dunia sebelum ini iaitu 16.84m yang diciptanya sendiri pada Sukan Paralimpik Rio 2016, Brazil. 

BIODATA ZIYAD

  • Muhammad Ziyad Zolkefli
  • Tarikh lahir: 15 Mar 1990
  • Umur: 31 tahun
  • Tempat tinggal: Kuala Lumpur
  • Isteri: Zafira Nasir
  • Anak: Zuhayra Zafra, 4, Tariq Xavier, 2
  • Bakatnya dalam sukan lontar peluru mula dikesan di peringkat sekolah pada tahun 2009.
  • Pernah menerima anugerah Atlet Para 2013 oleh Majlis Sukan Malaysia.
  • Dia dinobatkan sebagai Atlet Terbaik 2017 oleh Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM).
  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia menamakan sebuah institusi kebajikan di Selangor atas namanya, Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli selepas beliau meraih emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Lemparan yang dilakukan Ziyad sepatutnya sudah memecah rekod dunia.

Diharapkan rayuan penyertaan, catatan Ziyad bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diiktiraf sebagai penyertaan dan catatan rasmi kejohanan diterima. Sama-samalah kita doakan.

Pepatah Melayu mengatakan, masa itu emas. Kita diajar bahawa masa itu tersangat berharga dan tak ternilai. Justeru, diharapkan kita semua mengambil iktibar daripada insiden ini.

Sumber: Facebook Datuk Seri Ti Lian Ker

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca