JELAS sekali kuasa viral atau tular media sosial sangat hebat! Hanya dengan menekan satu butang ‘kongsi’ pada laman tertentu ia mampu memberi impak yang sangat luar biasa.

Perkara tersebut dibuktikan apabila baru-baru ini kuasa tular di media sosial dilaporkan menjadi `penyelamat’ kepada petani Orang Kurang Upaya (OKU), Izzat Amir Adam yang buntu untuk memasarkan lambakan buah labu yang diusahakannya.

Seperti apa yang dilaporkan oleh portal media tempatan, Izzat Amir, 29, yang mengusahakan tanaman labu di tanah seluas kira-kira satu hektar di Nenasi, Pekan, Kuantan, Pahang berkata, buah labu itu tidak terjual ekoran pembeli utama mengurangkan jumlah pembelian.

Pemuda itu juga berdepan masalah untuk memasarkan sendiri buah labu itu kerana tidak mempunyai kenderaan sesuai, sehingga seorang ahli keluarganya mencadangkan supaya dirinya membuat video ‘iklan’ di media sosial.

“Alhamdulillah, video itu tular dan ramai yang mahu membantu membeli. Saya tidak menyangka ramai yang prihatin, malah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli sebanyak tujuh tan labu semalam.

“Sekarang saya masih mempunyai kira-kira 20 tan labu untuk dijual dan saya harap dapat dihabiskan dalam selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan sebelum buah menjadi busuk,” katanya.

Izzat Amir yang kehilangan lima jari kanan akibat kemalangan semasa menggunakan mesin menuai padi empat tahun lepas berkata, buah itu hasil tanaman yang dilakukan pada Mac lepas dengan jangkaan dapat memperoleh hasil sekitar RM5,000.

Kuasa viral penyelamat perniagaan OKU jual buah labu

Iklan

Bagaimanapun, dia tidak menyangka tanaman itu ‘begitu menjadi’ apabila memperoleh sekitar 85 tan labu berbanding sebelumnya yang biasanya sekitar 30 tan.

Itulah yang dinamakan rezeki. Siapa mampu menyangka hanya satu video mampu mengubah nasib seseorang dan itulah juga cukup membuktikan yang mana kuasa tular mampu memberi impak yang sangat luar biasa!

Iklan

Syabas warganet! Tahniah Izat! Teruskan berusaha!