Lelaki gaya samseng maki, tunjal kepala wanita dipenjara 7 hari, 9 info berkaitan

LELAKI bergaya samseng maki, tunjal kepala wanita yang tular baru-baru ini dipenjara tujuh hari.

Ia berikutan Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengasari pemandu wanita di Tapah, Perak, Isnin lalu.

Menurut laporan berita tempatan, berikut info berkaitan;

1. Mahkamah Majistret Tapah hari ini, menjatuhi hukuman tujuh hari penjara ke atas lelaki atau ‘abang baju merah’ yang mengasari pemandu wanita di Lata Iskandar, Isnin lalu.

2. Majistret Siti Hanum Mohmad Sah menjatuhkan hukuman itu terhadap penyelia kilang tersebut selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut pemandu wanita terbabit dalam insiden yang tular di media sosial.

3. Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Zaim didapati menakutkan secara jenayah terhadap mangsa, Amiera Atiqah Shahrizan, 24, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah – Cameron Highlands pada jam 5.33 petang 5 Jun lalu dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’.

Baca juga Lelaki gaya samseng maki, tunjal kepala wanita cetus amarah ramai, 7 fakta kejadian 

4. Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

5. Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

6. Sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

7. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya J Geetha yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Baca juga Berhadapan pembuli jalan raya, ini apa yang anda perlu lakukan

8. Bagaimanapun, Mohammad Zaim meminta hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung seorang isteri yang hamil lapan bulan dan seorang anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000. Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan iaitu masing-masing penjara tujuh hari yang berjalan serentak dari tarikh sabitan.

9. Ketika menjatuhkan hukuman, Siti Hanum berkata, setiap tindakan yang dilakukan ada kesannya sama ada kepada diri sendiri atau keluarga dan masyarakat. “Maka fikirlah dulu sebelum bertindak,” katanya.

Iklan

Terdahulu tular satu video berdurasi 59 saat memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta Proton Persona dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepala mangsa.

Dalam kejadian itu, pemandu wanita terbabit turut dilemparkan kata-kata kesat oleh lelaki itu sebelum kepalanya dipukul. Lelaki itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada 5 Jun lalu, selepas mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.

Ambil pengajaran pada apa yang berlaku ini. Jangan sewenang-wenang bertindak di luar kawalan walau di mana anda berada.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.