SEMALAM genap sudah tujuh tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 dilaporkan hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Kemalangan yang masih menanti pengakhiran episod tragis terbabit juga telah mengorbankan 239 penumpang dan anak kapal.

Apa sebenar agaknya yang terjadi kepada pesawat itu tujuh tahun lalu? Ya! Tiada jawapan hanya doa dan harapan agar keajaiban akan muncul satu hari nanti yang dipohon oleh siap ahli keluarga yang terlibat.

Namun, ada juga yang sudah tidak mahu mengingatinya dan hanya berserah kepada Tuhan serta pihak berkuasa dalam merungkai misteri paling pelik dalam sejarah penerbangan dunia itu.

Sementara itu, semalam salah seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @syairulislam turut berkongsi pengalamannya yang pernah menaiki pesawat MH370.

Menurut perkongsian Syairul, dia dan keluarganya menaiki pesawat tersebut tiga hari sebelum ia dilaporkan hilang dan mereka juga menuju ke destinasi yang sama iaitu Beijing.

“Alhamdulillah masih diberi peluang untuk bernafas sampai ke hari ini.

“Saya tak pernah bercerita secara umum mengenai ini di mana-mana platform media sosial. Tapi harini, saya nak ceritakan kisah yang takkan kami lupakan sampai ke hari ini.

“Sebuah tragedi yang memberi kejutan bagi rakyat Malaysia, China dan seluruh dunia ketika itu,” tulisnya sebagai pembuka bicara sambil berkongsi foto beberapa keping tiket penerbangan MH370 yang dinaikinya satu keluarga.

Menurut Syairul, ketika gambar tiket itu diambil, dia masih di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan ketika itu dia baru berusia 15tahun.

Iklan

“Biasalah masa itu hanya perasaan teruja yang ada sebab itu adalah kali pertama saya nak ke luar negara dan tempoh bercutian kami juga agak lama, dalam lebih kurang seminggu lebih.

Lelaki ini kongsi pengalaman menaiki MH370 tiga hari sebelum dilaporkan hilang“Ketika duduk di bangku kawasan menunggu Gate C14, terlihat sekumpulan kapten kapal dan kru nya berjalan masuk ke dalam pesawat. Sambil jalan, mereka menyapa dan senyum dengan penumpang yang sedang menunggu di situ. Memang sangat ramah dari awal lagi.

“Kru-kru kapal ketika itu sangat mesra dan tak jemu melayan penumpang nya selama lima hingga enam jam perjalanan di udara.

“Setibanya kami di sana, cuaca sangat sejuk. Itu lagi membuatkan saya bertambah teruja dengan percutian di Beijing. ‘Batak’ la orang cakap.

Lelaki ini kongsi pengalaman menaiki MH370 tiga hari sebelum dilaporkan hilang“Di pendekkan cerita, kami dapat berita tentang pesawat MH370. Namun ketika itu, pada awalnya kami ingat hanya sekadar khabar angin.

“Susah nak dapat info sahih dekat sana. Berita sana kami tak faham, data internet terhad, nak buka Facebook pun tak boleh. Di China mereka sekat penggunaan facebook.

“Jadi kami di sana tak fikir apa-apa, kami teruskan lah misi percutian indah kami dan shopping.

Lelaki ini kongsi pengalaman menaiki MH370 tiga hari sebelum dilaporkan hilang“Habis sahaja seminggu lebih bercuti, sampai masa untuk kami pulang ke Malaysia. Setibanya kami di airport, penuh petugas-petugas media tempatan dan antarabangsa ketika itu.

“Dari pintu masuk airport, sampailah ke pintu imigresen. Di situlah kami sedar bahawa isu ini besar dan serius.

Lelaki ini kongsi pengalaman menaiki MH370 tiga hari sebelum dilaporkan hilang“Sebelum kami turun dari bas, pemandu pelancong mengarahkan kami untuk tidak mendekati petugas media dan jangan bagi apa-apa kenyataan kepada mereka.

“Keadaan sedikit tegang ketika itu. Kami tunggu lama dalam bas walaupun dah sampai di airport dan pergerakan kami juga kena pantas.

“Ketika kami beratur di ruangan daftar bagasi, ramai petugas media mengelilingi kami. Tapi dikawal ketat petugas-petugas keselamatan di sana.

“Sampaikan ada yang dihulur mic, untuk menjawab persoalan wartawan. Tapi kami tak layan mereka.

“Bila tiba di Malaysia, sama juga keadaannya, cuma mereka kurang agresif. Balik tu, saya terkejut kerana Facebook dan Instagram saya memang penuh dengan doa dari kawan-kawan.

“Sampaikan ada yang buat bacaan Yassin, ada yang menangis, sebab mereka ingatkan kami terlibat dalam tragedi tu.

“Kawan-kawan sekolah saya mungkin ada yang ingat peristiwa ini. Ada yang betul-betul ingat saya memang terlibat dalam pesawat tu.

“Alhamdulillah. Sampai ke harini saya rasa syukur sebab diberi peluang lagi untuk bernafas.

“Hari ini (8 Mac 2021), genap tujuh tahun kehilangan pesawat MH370. Sukar untuk kami ingat kembali wajah kapten dan kru-kru pesawat ketika itu dengan jelas. Tapi kebaikkan, keriangan mereka ketika itu, akan kami kenang sampai ke hari ini.

“Salam Takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. Hanya Allah SWT yang mengetahui segalanya. Semoga kita semua diberi perlindungan dunia dan akhirat. Ingat, mati itu pasti, kaya miskin, tua muda, bukan ukuran. Amalan dibawa, menanti di syurga” ujarnya.

Sementara itu, memetik laporan portal media tempatan, Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan masih belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian MH370 atau tidak, kerana setakat ini tiada sebarang bukti baharu mengenainya ditemui untuk mengerakkan semula pencarian.

Sumber Kementerian Pengangkutan memberitahu, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan tragedi itu dalam masa terdekat.

Iklan

Marilah sama-sama kita doakan agar misteri kehilangan pesawat MH370 ini akan terungkai juga satu hari nanti.