TIDAK dapat membayangkan situasi yang berlaku, tetapi realiti dialami kanak-kanak ini membungkam jiwa warga maya.

Masakan tidak si kecil berusia lapan tahun itu menyangka ibu tersayang sedang tidur rupa-rupanya telah meninggal dunia.

Ibunya yang bertarung kanser hati dipercayai menghembuskan nafas terakhir semasa ‘tidur’, selepas beberapa kali terjaga sehingga mengalami muntah darah.

Difahamkan, wanita berkenaan seorang ibu tunggal yang tinggal bersama tiga orang anak berusia 20, 16 dan lapan tahun. Sementelah, empat lagi anaknya bersama bekas suami di Klang, Selangor.

Kisah pilu itu dikongsikan oleh Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Rafie Zainal menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

Cerita beliau: “Malam tadi saya (kanak-kanak) yang jaga mak. Saya jaga sampai mak tidur.

“Mak jerit sakit. Saya urut tangan, dada mak. Tiba-tiba mak muntah darah lepas tu tidur. Bila mak tidur saya pun tidur,” ujar anak bongsu arwah.

“Kakak kat mana waktu tu?” tanya beliau kepada kanak-kanak yang petah berkata-kata.

“Saya tidur lepas tu saya dengar suara mak seolah menjerit sebab sakit pada jam 3 pagi. Saya tengok adik dah jaga mak jadi saya tidur semula,” jawab si kakak.

Tambah Rafie: “ALLAHUAKBAR. Anak sekecil itu memang tidak mengerti apa-apa. Dia tidak tahu langsung yang ‘tidur’ ibunya itu adalah tidur selamanya.

“Ketika dia bercerita dalam esak tangisnya, mengalir air mata ini. Saya cuba menenangkan dan memahami betapa berat ujian sedang dilaluinya saat itu.”

Bicara beliau, anak kecil tersebut menangisi pemergian dan memeluk erat ibunya manakala pada tangannya memegang mainan mungkin untuk tenteramkan diri sendiri.

Menurut beliau arwah dikelilingi jiran yang baik hati dan mengambil berat. Mereka sering membantu menghulurkan bantuan keperluan asas buat arwah dan anak-anak.

Iklan

Bahkan, dua orang jiran turut membantu memandi dan mengkafankan jenazah di rumahnya di PPR Kota Damansara di Petaling Jaya, Selangor.

Baca juga VIDEO] Budak Lelaki Terduduk, Dapat Berita Ibu Meninggal Dunia Kerana Covid-19

 

Bekas suami arwah turut sama membantu menguruskan jenazah dari awal hingga akhir, namun menyatakan tidak mampu melunaskan bayaran.

Iklan

Rafie menjelaskan semua kos pengurusan dan pengebumian ditanggung skuad pengurusan jenazah kendalian beliau.

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada jam 5.30 petang.

Semoga keluarga tersebut kuat mengharungi ujian ini. Al-Fatihah.