Masalah kesuburan suami meningkat, turut babit lelaki umur kurang dari 30 tahun – LPPKN

July 14, 2020
Oleh Azimah

MASALAH kesuburan dalam kalangan lelaki di negara ini didapati semakin meningkat.

Data
@LPPKN bagi tempoh 2010- 2019, kira-kira 60% ujian analisis sperma mencatat keputusan abnormal.


Itu thread dikongsikan @KKMPutrajaya yang dikongsikan baru-baru ini hingga mengundang banyak respons warganet.

Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki di negara ini didapati semakin meningkat dan turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin.

Demikian beritahu Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah , seperti dilaporkan Bernama.

Iklan

Mengapa hal ini berlaku?

Menurut Abdul Shukur, berdasarkan data LPPKN bagi tempoh 2010 hingga 2019, kira-kira 60 peratus ujian analisis sperma mencatatkan keputusan abnormal.

Iklan

“Memandangkan 95 peratus lelaki dapat menjalinkan hubungan seksual secara normal, mereka tidak sedar bahawa mereka mungkin mengalami masalah kesuburan,” katanya.

Rupa-rupanya, satu kajian antarabangsa mendapati masalah ini semakin meningkat dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini. Isu itu membabitkan tujuh peratus populasi lelaki dunia, kata Abdul Shukur.

“Tahap kesuburan dalam kalangan lelaki berumur kurang dari 30 tahun juga telah menurun sebanyak 15 peratus,” katanya.

Menurutnya isu kesuburan lelaki ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam kalangan pasangan berkahwin berdasarkan dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia yang menunjukkan peningkatan dari 6.9 peratus pada 2004 kepada 8.6 peratus pada 2014.

“Angka ini dijangka mencecah 10 hingga 12 peratus, iaitu menghampiri kadar global iaitu 10 ke 15 peratus sekarang,” katanya.

Fakta dibawah ini harus kita sedari…

Tambah beliau lagi senario itu suatu yang membimbangkan kerana boleh membawa kepada penguncupan generasi akan datang yang menjadi tonggak pembangunan negara pada masa depan.

Punca

Pada masa sama, Abdul Shukur berkata, kerjasama dalam kalangan suami bagi pasangan yang mendapatkan perkhidmatan di klinik LPPKN adalah sangat baik, iaitu 100 peratus hadir bersama pasangan dan menjalani rawatan seperti yang disyaratkan oleh lembaga itu.

“Ini menunjukkan persepsi kaum lelaki tentang masalah kesuburan semakin berubah dan kesedaran mereka dalam hal ini semakin meningkat,” katanya.

Menurut Abdul Shukur, antara faktor yang menyumbang kepada isu kesuburan lelaki ialah masalah psikoseksual seperti kurang nafsu seks.

“Masalah ini juga boleh terjadi apabila terdapat keabnormalan penghasilan dan fungsi sperma akibat defek genetik, penyakit kencing manis, jangkitan seperti mumps (beguk), masalah varikosel (salur darah berpintal),” katanya.

Punca lain termasuk mati pucuk, ejakulasi pramatang, ejakulasi ke dalam pundi kencing, sekatan pada testis dan kerosakan organ reproduktif.

“Masalah kesuburan ini juga boleh disebabkan oleh faktor persekitaran iaitu pendedahan berlebihan kepada bahan kimia, radiasi, suhu panas, asap tembakau, kafein, dadah rekreasi selain kerosakan pada testis akibat kanser atau rawatannya,” kata Abdul Shukur.

Akan tetapi, usahlah terlalu bimbang ya..

Mengenai rawatan, beliau berkata LPPKN akan memberikan kaunseling kepada suami yang mengalami masalah seksual selain disaran mengambil ubat dan makanan tambahan tertentu jika perlu.

Bagi lelaki yang menghadapi masalah sperma abnormal, mereka akan dirawat dengan ubat-ubatan terlebih dahulu. Jika gagal, mereka akan dirawat menerusi Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) iaitu kaedah Teknologi Bantuan Konsepsi (ART) atau Rawatan Bayi Tabung Uji.

Abdul Shukur berkata, data LPPKN dari 2010 hingga 2019 menunjukkan 75 peratus klien menjalani rawatan ART dengan 80 peratus daripadanya merekodkan persenyawaan.

Justeru, kalau ada mula nampak, tanda-tanda kurang kesuburan tu, segera dapatkan rawatan ya! -AG #janganputusasamalaysia

Iklan