LAZIMNYA anak-anak kita yang berusia di bawah 3 tahun dianggap masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Akan tetapi, ilmu tentang keselamatan diri boleh diajar seawal usia itu.

Usah diperjudikan keselamatan si kecil kita.

Perkongsian mengenai 6 perkara yang ibu bapa wajib ajar pada anak berusia 3 tahun ke atas tentang keselamatan diri ini boleh dipraktikkan:

1. Didik sentuhan selamat dan tak selamat

Didik anak mengenal 2 jenis sentuhan iaitu sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat. Sentuhan selamat adalah seperti ciuman di pipi, memeluk dan juga bersalam. Sentuhan tidak selamat pula berlaku pada tempat sulit.

Terdapat empat tempat sulit yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sahaja termasuk ibu bapa, guru dan sebagainya iaitu; mulut, dada, kemaluan dan punggung.

Jika terdapat individu yang sentuh 4 tempat ini, ajar anak untuk menjerit dan menangis sekuat-kuatnya kemudian melaporkan kepada individu lain yang boleh dipercayai seperti ibubapa atau mereka yang telah disenaraikan boleh dipercayai.

Nota tambahan: Sesuai untuk anak yang telah di ‘potty train’ atau tidak lagi memakai lampin pakai buang. Anak-anak juga sesuai diajar ‘potty train’ seawal usia 2 tahun.

2. Jangan duduk atas riba

Jangan duduk di atas riba sesiapa sahaja kecuali ibu bapa atau dengan kebenaran ibu bapa. Individu tidak dikenali adalah dilarang sama sekali.

3. Hafal nombor telefon

Ajar anak-anak menghafal nombor telefon ibu bapa untuk digunakan semasa kecemasan dan ajar mereka untuk meminta pertolongan pada orang dewasa yang boleh dipercayai seperti polis atau guru sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

4. Usah ambil pemberian

Iklan

Tidak mengikut seseorang yang tidak dikenali ke mana sahaja kecuali dengan izin ibu bapa serta tidak menerima atau mengambil pemberian seseorang yang tidak dikenali kecuali dengan izin ibu bapa.

5. 3 Qul

Latih anak-anak membaca 3 Qul iaitu Al-Ikhlas, an-Nas dan al-Falaq setiap kali sebelum tidur dan juga sebelum keluar dari rumah. Anak-anak perlu diajar bergantung sepenuhnya kepada Allah dengan meminta doa dan pertolongan dari Allah sejak dari awal usia.

6. Usah dedah anggota

Biasakan anak-anak memakai pakaian yang tidak mendedahkan anggota badan seperti berseluar panjang, baju melepasi paras punggung dan bertudung untuk usia tertentu agar mereka terbiasa dengan tidak mendedahkan anggota badan kepada orang ramai.

Iklan

Kebiasaan menutup aurat ini akan menimbulkan rasa malu pada diri anak -anak apabila aurat mereka terdedah.

Moga bermanfaat!

 

Kredit: theels.com.my