Pilu bayi 38 minggu korban termuda Covid-19, ibu masih bertarung nyawa di ICU

July 14, 2021
Oleh Azma ML

SEMALAM warga maya berkongsi momen memilukan mengenai seorang bayi lelaki berusia 38 minggu meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Difahamkan si kecil itu antara mangsa korban termuda sejak pandemik Covid-19 melanda di negara ini.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selasih, Batu Caves, Gombak, Selangor.

Lebih menyentuh hati, ibu bayi itu dikatakan masih bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital.

Sementara itu, bapanya bersama lapan anak lain pula sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Kisah memilukan itu dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Foto: Freepik

Baca juga [VIDEO] Frontliner Terjatuh Terlalu Penat, Tak Larat Bangun Semasa Tolak Stretcher

“Ya ALLAH...sayu hati kami keheningan malam tadi kali pertama menerima jenazah Covid-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.

“Difahamkan ibunya kini masih bertarung nyawa di ICU. Bapanya pula bersama lapan orang lagi anak sedang menjalani kuarantin di rumah. Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga.

“Insya-ALLAH anak kecil ini menanti di syurga memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” kata Jawi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mendoakan kesejahteraan bayi kecil terbabit dan mengharapkan keluarganya tabah menerima dugaan tersebut.

Iklan

- “Semoga ibunya kembali sembuh dan diberi kekuatan kepada semua ahli keluarganya. Tunggu ibu ayah di sana.”

- “ALLAHUAKBAR. Salam takziah. Sangat besar ujian keluarga ini. Moga ALLAH mengurniakan kesembuhan buat ibu yang sedang bertarung nyawa serta bapa dan anak-anak yang kuarantin di rumah.”

- “ALLAHUAKBAR, salam takziah. Semoga keluarga ini diberi kesembuhan dari ALLAH, Insya-ALLAH. Aamiin.”

Baca juga VIDEO] Budak Lelaki Terduduk, Dapat Berita Ibu Meninggal Dunia Kerana Covid-19

Iklan

Berdasarkan laporan worldometers.info sebanyak 4,065,182 kematian dicatatkan sejak koronavirus menyerang seantero dunia pada hujung tahun 2019.

Sementara itu, di Malaysia sebanyak 11,079 kes baharu dan 125 kematian dilaporkan pada Selasa.

Ia merupakan jumlah tertinggi dicatatkan dalam sejarah Covid-19 di Malaysia.

Foto: Freepik

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi
tindakan kawalan dan pencegahan.

• Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan yang mendesak di luar.
• Kepatuhan penuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun telah menerima dos lengkap suntikan vaksin.
• Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak rapat kepada kes positif.
• Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sementara menunggu keputusan ujian.
• Individu dengan keputusan positif sama ada melalui ujian saringan perlu segera berhubung atau ‘walk-in’ ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) yang terdekat bagi menjalani penilaian dan pemeriksaan kesihatan.
• Rancang perjalanan dan hadir awal ke CAC bagi mengelakkan kesesakan (untuk makluman, operasi CAC di Selangor telah dipanjangkan kepada tujuh hari seminggu).
• Daftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin Covid-19 sebagai langkah menyahut seruan kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok.

Sumber: JAWI, KKM