TEPIS persepsi bahawa pereka fesyen hanya menghabiskan masa untuk berkarya, menjahit dan menjual busana baik di butik mahupun secara online.

Tanpa kita sedar kumpulan kreatif tersebut turut menjalankan tanggungjawab sosial peribadi membantu mereka yang memerlukan.

Rico Rinaldi Tono misalnya, antara pereka fesyen lokal yang mengambil inisiatif meringankan beban pasukan perubatan dalam memerangi Covid-19.

Pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan jejaka kelahiran Kajang, Selangor itu segera mencari ‘lubuk’ untuk menyalurkan sumbangan.

“Alhamdullilah…misi saya dipermudahkan apabila pihak Hospital Putrajaya memohon bantuan menyediakan modular kecemasan calet (khemah khas) berhawa dingin.

“Keperluan itu adalah untuk menempatkan golongan pesakit Covid-19 sahaja supaya berasingan dengan pesakit lain,” katanya kepada Sinar Plus hari ini.

rico rinaldi
KHEMAH khas untuk kegunaan pesakit dan pasukan perubatan Covid-19 di Hospital Putrajaya. Foto: Ihsan Rico Rinaldi

Justeru, beliau telah menyewa empat buah khemah dan 16 penghawa dingin mudah alih yang mana kosnya sekitar RM32,000 sebulan.

“Namun begitu, memahami krisis wabak ini (Covid-19) yang semakin membimbangkan barangkali tempoh sewaan khemah dan kelengkapan tersebut akan dilanjutkan,” terangnya.

Tambah Rico, pihak hospital turut memerlukan bekalan asas seperti minyak, beras, telur dan gula untuk diagihkan kepada 500 keluarga barisan hadapan yang tidak berkesempatan keluar membeli.

Pada masa sama, beliau juga menyalurkan kelengkapan mandian memandangkan sebahagian besar pasukan perubatan tidak sempat pulang ke rumah atas tuntutan kerja.

“Bagaimanapun, saya tidak bersendirian. Tanggungjawab sosial ini turut mendapat sokongan daripada rakan bisnes dan selebriti yang bermurah hati menghulurkan sumbangan dan penajaan dalam pelbagai bentuk,” ujar beliau.

Iklan

Bagi rakyat Malaysia yang tidak berkemampuan membantu dari segi wang ringgit tidak mengapa. Anda hanya perlu membantu pasukan perubatan negara dengan duduk di rumah sepanjang tempoh PKP.

Tindakan terbabit dapat membantu mengelakkan penularan Covid-19 daripada terus berleluasa.

Tabung Covidsinar

Iklan
tabung sinar
Dalam pada itu, pihak Sinar Harian turut melancarkan Tabung Bantuan Fronliners Covid-19 Sinar Harian (Covidsinar).Ia merupakan bantuan dana untuk pasukan doktor, jururawat dan staf perubatan di seluruh negara bagi keperluan Personal Protective Equipment (PPE) termasuk makanan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025. Bersamalah kita membantu barisan hadapan di seluruh Malaysia, Rakyat Bantu Rakyat #KitalahMalaysia.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan di talian 013-4228802 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).