Sedihnya, kanak-kanak autisme ini terpaksa bergantung alat pernafasan seumur hidup selepas dijangkiti adenovirus

A
A
A

PADA Ramadan kali ini, tiada apa-apa yang Norzaila Ahmad, 39, inginkan selain anak kesayangannya, Muhammad Izz Ziqri Mat Johan sihat dan ceria seperti kanak-kanak lain.

"Doa saya sentiasa mengiringi Izz (panggilan manja kanak-kanak itu) setiap masa apalagi pada bulan mulia ini. Memang sedih melihat si kecil ini sakit, namun ketentuan ALLAH saya terima dengan reda," katanya.

Kepada SinarPlus, Norzaila berkata, kesihatan Izz merosot akibat jangkitan adenovirus yang menjejaskan sistem saluran pernafasannya ketika usia si cilik itu mencecah lapan bulan.

Bukan itu sahaja, Izz yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu juga disahkan autisme. Pada usia 10 bulan pula, Izz didiagnos mengalami Bronchiolitis obliterans with tracheomalacia pada usia 10 bulan.

izz anak autisme dijangkiti adenovirus

Kini, kanak-kanak itu sudah pun berusia tujuh tahun. Sepanjang tempoh itu, kata Norzaila, beliau masih memberi perhatian penuh kepada anaknya. Tiada istilah membiarkan anaknya begitu sahaja tanpa pemerhatian.

"Sebenarnya, sudah lima kali Izz dimasukkan ke unit rawatan rapi dan terpaksa 'ditidurkan' gara-gara paru-parunya yang lemah. Wayar berselirat pada seluruh badannya ketika berada di wad pada tahun 2015. Sayu hati saya.

"Pun demikian, dengan kuasa ALLAH, Izz menunjukkan perkembangan positif selepas enam bulan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya.

izz anak autisme dijangkiti adenovirus

Kegembiraan wanita itu nampaknya hanya seketika cuma kerana paru-paru Izz kembali dijangkiti kuman sehingga menyebabkan keadaan organ dalaman merosot.

Doa orang ramai

Sementara itu, bapa Izz, Mat Johan Johari berkata, kondisi Izz memerlukan keluarganya mengeluarkan sejumlah wang yang tinggi untuk rawatan dan penjagaan.

Ketika itu, mereka antara lain perlu memiliki mesin oksigen yang akan digunakan sepanjang hayat Izz. Itu tidak termasuk susu khas yang berjumlah RM900 sebulan.

Meskipun bekerja di salah sebuah bank, bapa berusia 36 tahun itu berkata, beliau terpaksa melakukan sesuatu bagi menambah pendapatan sampingan.

izz anak autisme dijangkiti adenovirus

"Saya menjual biskut raya yang diambil daripada kakak untuk dijual kepada kawan-kawan. Saya juga menjual produk kecantikan termasuk perkakas pembersih udara.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana rezeki ALLAH sentiasa ada untuk kami. Kami juga dikelilingi dengan orang yang baik-baik dan majikan yang prihatin. Jadi, semua beban yang berat menjadi ringan," kata anak jati Muar, Johor itu.

Ujar Mat Johan lagi, beliau juga sangat berterima kasih kepada orang ramai yang tanpa jemu menghulurkan bantuan kepada anak kesayangannya itu.

"Ya, benar bantuan untuk Izz cukup mengharukan, hanya ALLAH sahaja boleh membalas jasa kalian. Namun, dari sudut hati terdalam, saya mengharapkan orang ramai mendoakan agar Izz kembali sihat," katanya.

izz anak autisme dijangkiti adenovirus

Mengenai persiapan raya, keluarga itu tidak beria kerana keutamaan mereka saban tahun adalah menjaga Izz ditambah pelaksanaan larangan merentas negeri yang masih berjalan.

Namun, bagi membahagiakan Izz dan anak-anak yang lain, Mat Johan berkata, mereka akan membelikan baju baharu dengan warna kegemaran masing-masing.

"Saya mahu Izz terutamanya merasakan kehangatan Aidilfitri seperti budak-budak lain. Semoga Izz dapat pakai baju raya tahun ini walaupun tidak boleh pulang ke kampung," katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca