“Sepatutnya saya pertahankan Adik” Ibu angkat kanak-kanak malang mati didera menyesal

A
A
A

SEMALAM kita dikejutkan dengan berita menyedihkan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Kanak-kanak malang tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang namun siasatan siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Hati ibu mana yang tidak luluh mendengar berita menyedihkan itu tambahan pula sipelakunya dipercayai adalah ibu kandung dan bapa tirinya sendiri. Allahu tergamaknya si ibu!

Begitu jugalah luluhnya hati seorang ibu apabila menerima berita mengenai anak angkatnya berusia tujuh tahun yang dijaga sebelum ini, meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati dipercayai akibat didera.

“Sepatutnya saya pertahankan Adik” Ibu angkat kanak-kanak malang mati didera menyesal Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Memetik laporan portal media tempatan, Norlida Abu Hassan, 50, berkata, walaupun reda dengan pemergian anak lelaki jagaannya namun terkilan kerana kanak-kanak yang dijaga seperti darah daging sendiri dengan penuh kasih sayang itu diperlakukan sedemikian rupa.

Menurut Norlida, kali terakhir bertemu anak angkatnya yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ pada November lepas di Rawang, Selangor, sebulan selepas kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarganya di Krubong, Melaka.

"Saya menyesal… sepatutnya saya pertahankan Adik tetapi kerana faham keadaan ibunya yang mungkin menanggung rindu, jadi saya rela dan biarkan dia kembali ke pangkuan mereka.

"Tetapi saya tidak menyangka anak yang ditatang bagai minyak penuh, hilang sekelip mata dalam keadaan sebegitu," katanya.

Menurut Norlida lagi, sepanjang lebih enam tahun menjaga Adik, ibu kandung kanak-kanak malang itu hanya beberapa kali datang bertemu tetapi kembali berhubung ketika cuba mendapatkan dokumentasi kemasukan Tahun Satu daripada ibu kandungnya.

Ketika itu, Norlida tidak menyangka yang ibu kandung Adik meluahkan hasrat untuk menjaganya semula tahun lepas dan setelah menyerahkan anak angkatnya itu, dia tidak lagi berpeluang bertemu dengan kanak-kanak berkenaan malah talian telefonnya juga disekat.

"Ada sekali kami berpeluang bertemu dengannya secara senyap-senyap di kedai makan di Rawang ketika Adik dibawa bapa tirinya berjumpa kami dan Adik pernah cakap dia rindu Ummi," katanya.

Norlida berkata, pemergian Adik bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya malah seluruh ahli keluarga serta kenalan mereka kerana perwatakannya yang peramah, periang dan mudah mesra walaupun baru dikenali.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca