Tulang belakang adik Aniq tersembul keluar, si kecil ini perlukan ihsan masyarakat untuk terus bernafas

NURUL Zulaili Mohd Zumairi, 25, hilang kata-kata sebaik doktor memaklumkan keputusan imbasan tomografi berkomputer yang dijalankan.

Bayangkan, berita itu diterima sehari sebelum Zulaili melahirkan anak sulungnya secara pembedahan.

Emosi wanita itu berkecai. Beliau jadi takut. Dirinya juga tidak tahu bagaimana untuk menyorok nestapa yang bersarang dalam hati.

Masakan tidak, bayinya, Nur Muhammad Aniq Firdaus Mohamad Azmi atau Aniq menderita spina bifida atau tulang belakang terbelah dan hydrocephalus (lebihan cecair di dalam kepala) serentak.

Aniq

Pada masa sama, terdapat benjolan pada bahagian kepala Aniq yang berukuran kira-kira 35 sentimeter (sm). Tulang belakang (terbelah) juga tersembul keluar dan terdapat ketulan cecair yang jelas kelihatan.

Justeru, sebaik dilahirkan, Aniq terus dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan susulan.

Antara langkah pertama dilakukan pakar adalah memasang tiub pada kepala si kecil itu untuk mengurangkan lebihan cecair.

Aniq

Seterusnya, prosedur memasukkan semula tulang belakang yang terkeluar turut dilakukan.

“Dalam tempoh itu juga, saya berulang-alik ke hospital untuk melihat Aniq di Unit Rawatan Rapi Neonatal, HUSM. Selepas lebih sebulan berkampung, keadaan Aniq semakin stabil dan akhirnya dia dibenarkan pulang,” ujarnya yang menetap di Kampung Bagan Atas, Machang, Kelantan.

Pemantauan

Pun demikian, beritahu Nurul Zulaili, beliau masih belum boleh menarik nafas lega lagi.

Seperti kata pakar, tiub khas yang dipasang pada kepala Aniq hanyalah bersifat sementara.

Aniq

“Sehingga ke hari ini, saya masih belum tahu apa prosedur selanjutnya akan dilakukan. Pertanyaan sama ada satu lagi pembedahan (pada bahagian kepala) juga masih tiada jawapan. Apa yang penting, saya diminta sentiasa memantau keadaan Aniq dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut isteri kepada Mohamad Azmi Mohamad Azlan, 24, itu, saiz kepala anak beliau kini sudah mencecah 41sm. Jika ukurannya lebih daripada itu, Aniq perlu dibawa ke hospital pada kadar segera.

Baca juga Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia

Perbualan kami terhenti sejenak apabila penulis bertanyakan tentang punca anaknya menghidap dua penyakit serius tersebut.

Aniq

Kemudian, Nurul Zulaili menyatakan ketidakpastiannya dan mereka sendiri tiada jawapan kukuh untuk persoalan itu.

“Sehingga ke saat ini, saya dan suami serta ahli keluarga masih tidak percaya Aniq menanggung sakit sebegitu rupa dan memang tak pernah terfikir langsung.

Iklan

“Mungkin kami terpilih oleh-NYA untuk menerima ujian besar ini. Melihat anak kami tidur dengan nyenyak membuatkan saya dan suami lebih tersentuh dan kasih sayang kepadanya semakin menebal,” ujarnya yang tidak dapat menahan rasa sebak.

Aniq

Sebagai seorang ibu, sudah tentunya Nurul Zulaili mengharapkan yang terbaik buat Aniq. Beliau sangat mengimpikan putera sulungnya sihat dan mampu berjalan seperti anak kecil normal yang lain.

“Mungkin ramai yang mengandaikan anak saya bakal membesar dengan banyak kekurangan.

Baca juga Adik Nurul Adlina menderita sakit tulang punggung, idam mahu motosikal elektrik untuk mudah bergerak

“Namun, saya akan cuba berusaha sebaik mungkin untuk mengubatinya. Kami juga berfikiran positif dan sentiasa panjatkan doa agar Aniq cepat sembuh,” katanya.

Bersuamikan seorang mekanik dengan gaji bulanan yang rendah pastinya sukar untuk Zulaili merealisasikan impian tersebut.

Iklan

Aniq

Sehubungan itu, wanita berkenaan memohon bantuan orang ramai untuk membeli keperluan perubatan termasuk kos rawatan untuk tulang belakang dan kepala si kecil.

Kepada pembaca SinarPlus yang baik hati, sumbangan anda sangat dialu-alukan bagi memenuhi hajat keluarga berkenaan untuk melihat anak tunggal mereka ceria seperti kanak-kanak lain.

Saluran dana boleh dibuat terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0302141000162435 atas nama Nurul Zulaili Mohd Zumairi.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.