SATU Malaysia tahu betapa kecewanya Datuk Yusuf Haslam terhadap tindakan anaknya, Syamsul yang mengakui sudah beristeri dua.

Kolam hatinya berkocak. Perbuatan Syamsul yang membelakangkan keluarga dengan membuat keputusan berkahwin sekali lagi di Thailand, sekali gus menyaksikan menantu kesayangannya, Puteri Sarah Liyana dimadukan amat menghiris perasaannya dan isteri.

Luahan rasa pengarah filem Sembilu itu kepada program Melodi baru-baru ini yang turut tular di media sosial bikin ramai sebak dan tersentuh hati.

Masing-masing melontarkan pandangan terhadap situasi yang paling diperkatakan di Malaysia setakat ini.

Bukan mudah ya seorang yang bergelar lelaki untuk mengalirkan air mata di hadapan khalayak.

Namun, tindakan si anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh seolah-olah sukar diterima, telah membuatkan pengkarya seni tersohor itu gagal mengawal emosi dan akhirnya air matanya tumpah.

Jelas, daripada raut wajahnya, Yusuf betul-betul sedih dan kecewa.

Pun demikian, sebagai seorang ayah dan juga orang Islam, pemilik nama sebenar Mohd Yusof Md Haslam Khan itu menerima ketentuan ILAHI dan terus mendoakan yang terbaik buat Syamsul dan seluruh ahli keluarganya.

“Bohonglah andai kata saya tidak kecewa. Pun begitu, saya tidak mahu cakap soal tersebut. Saya harap semua pihak baik isteri, anak dan menantu saya terus move on. Pada masa sama, saya mengharapkan supaya Syamsul bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

“Cuma, sekarang kita semua kena pandang ke hadapan, tidak boleh lagi menoleh ke belakang lagi. Sesuatu yang sudah berlaku kita tak boleh patah balik. Terima qada dan qadar,” kongsi bapa kepada empat cahaya mata itu beliau menerusi satu temubual bersama program Melodi baru-baru ini.

Pun demikian, beliau mengharapkan Syamsul lebih bertanggungjawab selepas ini.

“Kehidupan bukan sesuatu perkara yang mudah. Hidup ini satu perjuangan untuk pertahankan keluarga, isteri dan rumah tangga.

“Tanggungjawab sebagai suami bukan sekadar memberi nafkah duit semata-mata. Malah, kena juga menjaga perasaan masing-masing baik isteri mahupun suami,” ujarnya.

SUAMI PERLU ADA SIFAT PEMUJUK

Iklan

Meskipun dilanda rasa hiba yang teramat, pemilik syarikat Skop Production itu juga tidak lokek berkongsi tip kebahagiaan rumah tangga bersama isterinya, Datin Fatimah Ismail.

“Apa yang mengekalkan rumahtangga saya bertahan selama 40 tahun dengan isteri? Jawapannya, saya ialah seorang suami mempunyai sifat pemujuk. Kalau isteri merajuk, sebagai suami kita kena pujuk, jangan biarkan isteri rasa terasing dan memendam rasa.

“Kita sebagai manusia tidak sempurna. Begitu juga suami isteri. Kalau ada kesalahan masing-masing kena selesaikan. Lebih-lebih suami kena mainkan peranan kerana suami imam dalam keluarga.

“Hampir 40 tahun hidup berkeluarga, saya tak nafikan ada masalah. Pun begitu, saya anggap setiap masalah tersebut kecil sahaja kerana ia melibatkan perasaan dan emosi,” ungkapnya dengan nada sebak.

Beliau turut menambah, jika wujud sebarang kesilapan, suami isteri kena mengakui kesalahan. Jangan sesekali menyimpan rahsia.

Iklan

“Insya-ALLAH itu yang membuatkan rumah tangga kita kekal. Kita juga tak boleh ada perasaan pentingkan diri sendiri dan menganggap isteri perlu dengar cakap kita 100 peratus kerana mereka bukan robot.

“Jika ada perasaan tanggungjawab sayangkan isteri, bertolak ansur, insya-ALLAH rumah tangga kita akan kekal. Itu sahaja pesanan saya kepada Syamsul, saya doakan yang terbaik. Apa yang saya luahkan ini adalah daripada isi hati saya yang mahu melihat kebahagiaan anak-anak,” katanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MELODI TV3 OFFICIAL (@meloditv3)

Sumber: Instagram meloditv3

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.