“Tengah tidur tiba-tiba menangis kuat“ - Ibu cerita detik cemas bayi 4 bulan disengat lipan jam 3.30 pagi

A
A
A

SENGATAN binatang berbisa seperti lipan, kala jengking, lebah dan ular adalah antara risiko terutama ketika cuaca hujan.

Lipan ialah artropod tergolong dalam kelas Chilopoda dalam subfilum Myriapoda. Sengatan lipan sangat menyakitkan dan bisanya boleh membawa maut kepada anak kecil dan bayi.

Neurotoksin yang terkandung di dalamnya akan membuatkan tempat gigitan menjadi sakit dan mangsa mengalami demam dan peningkatan tekanan darah.

Seorang ibu, Siti Zulaikha Ariffin berkongsi detik cemas dilalui semasa bayinya, Safiya Iman, 4 bulan, yang disengat haiwan itu Selasa lalu.

“Pada malam itu kami tidur di rumah ibu bapa saya. Kira-kira pukul 3.30 pagi, Dia tengah tidur tiba-tiba dia menangis kuat.

“Saya dalam samar-samar nampak seekor lipan merayap di atas muka Safiya. Semasa nampak lipan itu, saya terus angkat anak, nyalakan lampu utama dan periksa.

“Nampak ada kesan sengatan pada lehernya. Tanpa berlengah kami terus kejarkan dia ke hospital,” tuturnya.

Semasa di jabatan kecemasan, kata Zulaikha doktor yang merawat bertanya pelbagai maklumat termasuk gambar lipan yang menyengat sebelum memberikan suntikan antivenom.

“Doktor minta semua info seperti gambar serangga yang menyengat.

“Degupan jantung dan paras oksigen Safiya diperiksan dan dipantau. Doktor beritahu pemantauan perlu dilakukan kerana tempat disengat dekat dengan saluran pernafasan.

“Doktor terus suntik antivenom, berikan Safiya paracetamol dan ubat tahan sakit,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Susulan itu, Safiya telah ditahan di wad selama dua hari untuk dipantau manakala kawasan disengat bengkak dan lebam.

Jauh disudut hati, Zulaikha bersyukur perkembangan baik Safiya selepas insiden berkenaan.

Tidak mengalami gejala berbahaya mahupun demam, eksekutif media sosial itu berharap bayinya pulih tanpa kesan sampingan.

Bagaimanapun, doktor bimbang reaksi bisa sengatan dan berpesan agar terus membawa bayinya ke hospital sekiranya mengalami demam.

Dia turut berpesan agar ibu bapa melakukan lima perkara berikut apabila anak kecil disengat haiwan berbisa:

1. Periksa seluruh badan anak kerana bimbang terdapat lebih daripada satu sengatan.

2. Doktor berpesan ibu bapa jangan menyedut bisa menggunakan mulut kerana ia boleh membahayakan nyawa.

3. Elakkan daripada menyapu sebarang bahan pada tempat sengatan seperti ubat gigi.

4. Jika sempat, rakam dan simpan gambar haiwan berbisa tersebut dan tunjukkan kepada petugas perubatan wad kecemasan.

5. Segera kejarkan ke hospital.

Dalam cuaca hujan, kita perlu berwaspada kehadiran haiwan berbisa di dalam rumah. Jika terkena sengatan, risiko paling teruk akibat kesan gigitan atau sengatan adalah alahan yang boleh membawa maut dan jangkitan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai antibodi yang kuat dan hipersensitif, sengatan binatang berbisa boleh menyebabkan reaksi alahan teruk.

Kesannya mangsa boleh meninggal dunia dalam tempoh kurang 20 minit jika tidak dirawat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca