Tidak kira banjir atau kes kematian, runner ini sediakan servis percuma bantu golongan kurang berkemampuan
MELIHAT lumpur tebal yang membadai kawasan Kampung Insaf di Lanchang, Pahang selepas dilanda musibah banjir luar biasa baru-baru ini membuatkan hati Mohd Zulhairi Zainol luluh.
Masakan tidak, lumpur setinggi lutut itu hampir memusnahkan rumah penduduk yang rata-ratanya dihuni warga emas. Jika dibiarkan lama, nescaya kediaman berkenaan akan runtuh pada bila-bila masa tanpa sebarang isyarat.
Mohd Zulhairi atau Hery memulakan bicaranya dengan nada sebak. Kali pertama melihat suasana itu, hatinya menangis.
"Saya tak tahu mana semangat yang diperoleh mangsa banjir. Rata-ratanya memang kena mulakan hidup mereka semula.
"Bagi menyuntik rasa lega, saya dan sukarelawan lain sedaya upaya membantu membersihkan rumah mereka," kata lelaki berusia 38 tahun itu yang menubuhkan satu pasukan dinamakan Amalteam.
Memahami kekotoran sukar untuk ditanggalkan, Hery bertindak menyewa backhoe mini untuk membuang lumpur tebal.
"Kalau menggunakan kudrat manusia, tak mungkin boleh siap dengan cepat. Ah, saya tak dapat bayangkan bagaimana mangsa banjir yang sudah berumur menangguk lumpur menggunakan baldi.
"Saya akui, meskipun tidak dapat bantu semua, sekurang-kurangnya pertolongan tidak seberapa ini dapat memberikan cahaya kegembiraan buat beberapa mangsa banjir yang terbeban,“ katanya sambil memberitahu, beliau dan Amalteam turut ‘menjelajah‘ membantu mereka yang terkesan di Selangor juga.
Turut urus jenazah
Apa yang dilakukan oleh bekas mekanik itu sebenarnya lebih daripada itu.
Tidak hanya menumpukan kebajikan dalam isu banjir sahaja, Hery yang sudah berkecimpung dalam dunia sukarelawan sejak enam tahun lalu turut mengurus jenazah secara percuma.
Bercakap mengenai usaha murni tersebut, Hery yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, beliau tidak sanggup membiarkan, apatah lagi melihat keluarga yang kurang berkemampuan terpaksa berdepan kos pengurusan jenazah yang tidak masuk akal.
Baca juga Angkut bot dari Melaka ke Selangor selamatkan mangsa banjir, berikut 10 info Abang Viva viral
"Saya tolong urus jenazah tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Saya berterusan ingin melakukannya kerana harapan waris terutamanya ibu dan bapa mereka yang sangat mendambakan agar jenazah darah daging sendiri diurus dengan baik dan lancar.
"Sudah banyak kes gara-gara disebabkan kekangan duit, jenazah dibiarkan dalam tempoh yang lama. Mana tidaknya, ada pihak tertentu mengenakan caj yang tak munasabah. Manalah mereka mampu bayar," katanya.
Ketika ditanya sama ada pernah menguruskan individu yang meninggal dunia akibat virus Covid-19, Hery terdiam seketika.
Beliau tidak bercerita lanjut dan hanya berkata: “Semua momen tersebut menjadi pengalaman cukup menginsafkan buat diri saya untuk lebih dekat kepada YANG MAHA ESA.“
Dalam pada itu, Hery berkata, ketika mula-mula melakukan kerja-kerja kebajikan, beliau memang tidak memiliki dana dan semuanya adalah hasil bantuan sukarelawan-sukarelawan lain yang bermurah hati.
"Bayangkan pada waktu itu, kain kapan pun saya tak mampu beli. Nasib baiklah ada kawan-kawan yang pernah tolong sebelum ini datang meringankan beban dan kami sama-sama bergerak membantu keluarga miskin dan fakir," tuturnya.
Namun, pada hari ini, lelaki itu mampu menarik nafas lega. Kini, mereka memiliki lapan buah van jenazah, dua buah lori jenazah dan dua buah ambulans.
"Dua lori jenazah itu diubah suai menjadi bilik bergerak untuk memandikan dan mengapankan mayat," katanya.
Kepada keluarga pesakit (bertaraf asnaf) yang mendapatkan rawatan di Institut Kanser Negara dan Hospital Putrajaya, Hery menawarkan rumah transit dan menikmati makanan secara percuma di sebuah kedai makan yang ditetapkan.
Pun demikian, ada sesuatu yang luar biasa yang diinginkan lelaki berhati mulia itu.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Kepada SinarPlus beliau dengan penuh berharap berkata: "Saya berhasrat untuk mempunyai tanah perkuburan sendiri bagi membolehkan urusan pengebumian tanpa bayaran dapat dilakukan. Saya ingin terus membantu mereka yang dalam kesusahan selagi hayat dikandung badan."
Kepada orang ramai yang ingin bersama-sama Amalteam melaksanakan misi kebajikan, boleh menyumbang dana ke akaun Public Bank 3817348402 atas nama Pertubuhan Amalteam.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang