Tinggal anak kembar dalam kereta, ibu ayah pergi open house? Perkongsian wanita cetus amarah ramai

KINI negara kita sedang mengalami cuaca panas melampau dan kering yang boleh menyebabkan berlakunya strok haba kepada manusia.

Lebih membimbangkan, sejak beberapa minggu lalu, terdapat beberapa kes kematian terutamanya kanak-kanak di negara ini yang berpunca akibat daripada strok haba.

Pun begitu, baru-baru ini tular pula seorang wanita yang mendakwa sepasang suami isteri tergamak meninggalkan anak kembar mereka yang masih kecil di dalam kereta kerana menghadiri rumah terbuka.

Menerusi hantaran di laman Facebook akaun Nana Nandos, wanita terbabit berkata pada awalnya dia terdengar tangisan kanak-kanak yang sedang dalam ketakutan di dalam sebuah kereta.

“Anak-anak ditinggalkan di dalam kereta berkunci untuk beraya ke rumah terbuka. Enjin kereta dimatikan hanya tangkap dibuka sedikit.

“Terdengar tangisan budak dari dalam kereta, anak kembar dalam keadaan takut dan menangis.

“Sempat berikan air kotak untuk tenangkan mereka dan tunggu lebih kurang 30 minit untuk ibu bapanya kembali,” kongsinya.

Baca juga Tragis, 2 kanak-kanak maut, seorang parah dicampak dari ‘flyover’ setinggi 20 meter, berikut 8 fakta kejadian

Kredit foto: Freepik

Menurut wanita itu, apa yang memeranjatkannya adalah pasangan suami isteri itu bukan hanya pergi beraya berdua, malah atuk dan nenek kepada kanak-kanak terbabit juga ikut bersama.

Namun mereka tidak memberikan sebarang reaksi sebaliknya hanya tersenyum malah si ibu kelihatan seperti biasa seolah-olah tindakannya adalah normal.

“Eh… parents dengan atuk nenek sekali laaa pegi beraya, cucu (pula) dalam kereta.

“Dapat lah angkat tangan sambil sengih-sengih kerang manja dari parents. Mak dia buat bo*** sahaja, muka tak bersalah,” tambahnya lagi.

Dalam perkongsian tersebut, wanita berkenaan memaklumkan dia tidak membuat sebarang laporan polis.

Namun sebaliknya, dia menasihati para ibu bapa agar sentiasa mengutamakan anak yang diamanahkan oleh ALLAH SWT.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan yang dilakukan oleh pasangan suami isteri terbabit yang jelas satu pengabaian terhadap kanak-kanak.

Ramai yang menegaskan perbuatan kurang bijak dan tidak berfikir panjang itu amat merbahaya memandangkan seluruh negara ketika ini sedang berdepan musim panas melampau sekali gus boleh mengakibatkan kematian.

“Berpeluh budak-budak tu… Ya ALLAH kesiannya. Nasib baiklah tak jadi apa apa dalam cuaca panas ni.”

“Kalau rasa takda duit nak upah orang jaga. Kau suami isteri gilir-gilir pergi makan rumah terbuka.”

“Ya ALLAH zalimnya. Kot nak raya beria tak nak bawa anak sekali pun jangan lah sampai tinggal dalam kereta macam tu.”

“Alamak. Kalau tak nak ganggu anak tidur. Gilir-gilir lah. Dah lah siap ada atuk dan nenek lagi. Satu keluarga ‘selfish’.”

“Jika suhu di luar 35 darjah Celcius, suhu di dalam kereta menjadi 60 darjah celcius jika lebih 30 minit terbiar.”

Baca juga Bapa dedah makanan terakhir kanak-kanak maut jatuh hotel, sejam sebelum pergi buat selama-lamanya

Iklan

KES KEMATIAN KANAK-KANAK DALAM KERETA

1. 14 Mac 2018

Nur Awfa Humaisha Muhammad Ali Riduan, 2, maut akibat sesak nafas selepas tertinggal dalam kereta selama empat jam di parkir sebuah kolej kemahiran di Batu 3, Port Dickson, Negeri Sembilan.

2. 17 Februari 2020

Seorang bayi dalam lingkungan usia 12 bulan telah meninggal dunia akibat tertinggal di dalam kereta bapanya di tapak parkir Kompleks Tun Razak, Indera Mahkota, Kuantan.

3. 13 September 2016

Bayi perempuan berusia 12 bulan maut di Kulai Johor selepas ditinggalkan lebih lima jam dalam kereta milik bapanya.

Iklan

4. 21 Ogos 2014

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas ditinggalkan oleh bapanya di dalam kenderaan secara tidak sengaja selama lebih lapan jam di Kuala Nerang, Kedah.

Sedar atau tidak, insiden sebegini sebenarnya mampu mengancam nyawa anak-anak anda. Jika terperangkap dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan, ia boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami sesak nafas dan strok haba (heat stroke) akibat kekurangan oksigen dan kepanasan melampau.

Justeru, sebagai ibu bapa atau penjaga, jangan sesekali terleka atau cuai kerana dalam sekelip mata sahaja macam-macam tragedi yang boleh terjadi.

Sumber : Facebook Nana Nandos

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.