Oleh MUHAMMAD YUSAINY MOHAMAD YUNUS

LEBIH 23 peratus rakyat dewasa di negara ini maut disebabkan penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular berpunca daripada kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Trend terkini menunjukkan serangan penyakit berkenaan boleh berlaku kepada individu seawal umur 30 tahun.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Suraya Abdul Razak berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana kebanyakan pesakit tidak menyedari mereka menghidapnya.

Katanya, menurut data kesihatan nasional, lebih kurang satu daripada lima rakyat Malaysia dewasa menghidap penyakit kencing manis, manakala satu daripada tiga individu mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi iaitu lebih daripada 140/90.

“Walaupun mereka menyedarinya, tetapi hanya 40 peratus dari pesakit darah tinggi yang mengambil ubat-ubatan dan mempunyai kawalan kadar tekanan darah yang baik.

“Obesiti juga merupakan faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit jantung. Satu daripada tiga rakyat Malaysia menghadapi masalah obesiti dan ini sangat membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sinar Live: Awas! Impak Covid-19 dan Kesihatan Jantung pada Rabu sempena sambutan Hari Jantung Sedunia yang dikendalikan moderator, Hazwan Mokhtar.

Dr Suraya menambah, tanda-tanda awal bagi seseorang itu disahkan menghidap penyakit jantung adalah rasa sakit di dada seperti dihimpit sesuatu dan berkemungkinan akan sukar bernafas, loya serta pening kepala.

“Masalah sukar bernafas, loya dan pening merupakan simptom-simptom kemungkinan seseorang itu mengalami serangan jantung. Pesakit mungkin mempunya gejala berikut apabila terdapat darah beku pada saluran jantung,” ujarnya.

DR SURAYA.

Tambahnya, pengamalan gaya hidup yang sihat seperti bersenam dan olahraga merupakan antara amalan untuk mengawal daripada menghidapi penyakit jantung.

Mengurangkan penggunaan garam dalam makanan antara cara mengelakkan tekanan darah yang tinggi, mengurangkan pengambilan makanan manis atau bergoreng juga perlu dijadikan amalan.

“Segera lakukan saringan kesihatan untuk kenal pasti sama ada badan kita berpotensi atau tidak mempunyai tiga penyakit itu,” jelasnya.

Kempen kesihatan

Iklan

Sempena Hari Jantung Sedunia, Olive House sekali lagi berganding bahu bersama Yayasan Jantung Malaysia melaksanakan kempen Love Your Heart, Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan jantung kepada rakyat Malaysia.

Presiden Aafiyat Group, Aidil Azwal Zainudin berkata, kempen kesedaran kesihatan jantung tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh jangka masa panjang pada tarikh 29 setiap bulan sehingga September 2022.

Olive House mengadakan promosi kombo World Heart Day dengan menawarkan harga yang berpatutan.

Tambahnya, Program Walk-Run-Ride akan dilaksanakan di seluruh Malaysia bagi menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti fizikal sama ada berjalan, berlari atau berbasikal sebagai salah satu cara untuk memelihara kesihatan jantung.

Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai bermula Rabu lalu dan peserta akan menerima baju T edisi khas ‘Love Your Heart, Malaysia’, tertakluk kepada terma dan syarat.

Iklan

Olive House turut membuat tajaan Pesanan Khidmat Masyarakat Love Your Heart, Malaysia bagi memberi kesedaran kepada masyarakat di 14 stesen radio negeri seluruh Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada setiap 29 hari bulan.

Pelbagai aktiviti lain juga akan dilaksanakan seperti bual bicara di televisyen, radio dan platform sosial media bersama pakar perubatan daripada KPJ dan Hospital UiTM untuk sama-sama menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan jantung yang betul.

Menurut Aidil, bersempena kempen Love Your Heart, Malaysia, Olive House mengadakan promosi kombo World Heart Day kepada pelanggan yang akan dijalankan bermula  29 September hingga 15 November 2021.

“Pelanggan layak mendapat seunit Madu Asli Pergunungan Kyrgyzstan 50 gram dengan setiap pembelian kombo World Heart Day,” ujarnya.