‘9 tahun baru nampak hasil.' Dari potong rumput ke usahawan muda, Syaaban buktikan impian tak mustahil

No Image Caption
A
A
A

KEJAYAAN tanpa pengorbanan merupakan sesuatu yang mustahil. Tidak kisah walaupun bermula dari bawah kerana apa yang penting adalah hasilnya.

Viral di Thread kisah pencapaian luar biasa seorang anak muda, Mohamad Nur Syaaban Md Desa yang kini menjadi bualan ramai.

Anak jati Ipoh, Perak ini menamatkan pengajian Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Dato’ Ahmad Said dan memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang biasa sahaja.

Namun, dia tidak menjadikan perkara itu sebagai ‘penghujung’ masa depannya. Bukan tidak mahu menyambung pengajian, tetapi ada kekangan yang perlu dihadapi.

“Saya berminat dalam bidang automotif tetapi semasa buat permohonan, tidak berjaya kerana bidang yang saya mahukan sudah penuh. Tambahan pula, perlukan kelulusan kredit dalam SPM. Lagi pun, mak ayah saya bukan orang yang senang,” katanya kepada SinarPlus.

Anak bongsu daripada tujuh orang beradik itu perlu melakukan sesuatu untuk mengubah hidupnya. Maka, bermulalah hala tuju kerjayanya.

Berbekalkan motosikal EX5 miliknya, dia segera bangkit dan mula melakukan tugasan pertama memotong rumput, menyapu sampah dan menjaga landskap di Jelapang, Meru pada tahun 2017 hingga 2018.

No Image Caption

Kemudian, anak muda tersebut mengambil upah untuk tugasan yang sama di Dataran Ipoh. Di kala rasa susah dengan ‘bekalan’ kewangan, Syaaban berusaha satu langkah lagi dengan belajar menebang pokok di kawasan kampung.

“Pada ketika itu saya tak tahu nak buka harga macam mana. Belum ada pengalaman. Saya kerap berfikir, pekerjaan sebegini ada masa depan ke?

“Bagi saya, apa sahaja yang kita buat, kita yang kawal. Jadi, kena berusaha lebih kalau kita nak lebih. Jangan berangan nak gaji lebih tapi kerja sedikit. Kalau penat jkena rehat bukannya berhenti,” ujarnya lagi.

Pada tahun 2020, dia berjaya mendapat subkontrak di kawasan Ipoh. Perlahan-lahan membuka jaringan perkenalan dengan kontraktor dan pihak berkaitan.

Berkat usaha dan doa, namanya mula dikenali dan mendapat tugasan besar termasuk daripada jabatan kerajaan.

Semuanya dilakukan sendiri pada mulanya. Kini, jejaka berusia 26 tahun itu sudah mempunyai pekerja dan syarikat sendiri yang dibina dengan usaha tulang empat keratnya.

“Siapa kata pelajaran tak penting? Walaupun keputusan SPM tak ‘cantik’, tapi ilmu tetap kena ada. Sekarang ni bekerja sendiri dan perlu kendalikan akaun syarikat. Di sini, ilmu penting untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Syaaban juga berasa bangga dengan pencapaiannya kini. Sudah ada rumah dan kereta yang dibeli dengan gajinya sendiri.

Dahulu, ada orang yang mengata tentangnya seperti tiada masa depan, tetapi kini dirinya telah membuktikan bahawa omongan orang itu tidak bermakna.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang