SEORANG pesakit hiperhidrosis atau tangan berpeluh, Mohd Ariff Zakri, 32, berkata, beliau menghidap penyakit berkenaan sejak kecil lagi.

Pun demikian, lelaki itu tidak menyangka, anak sulungnya kini mewarisi ‘kesengsaraannya‘.

“Saya pula mendapat hiperhidrosis daripada ahli keluarga saya sendiri. Tak payah ceritalah betapa seksanya saya menanggung penyakit ini sejak zaman kanak-kanak.

“Bayangkan setiap hari, saya akan Google cara atasi penyakit ini sebelum berjaya membiasakan diri dengan situasi serba tak kena ini,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pun demikian, Mohd Ariff bersyukur kerana isterinya tidak pernah mengeluh, merungut, apatah lagi menunjukkan rasa geli untuk memegang tangan beliau.

Ditanya bagaimana menyesuaikan diri dengan orang sekeliling yang mungkin perasan dengan situasi sulit yang dihadapinya?

Iklan

Dengan nada tenang, lelaki itu berkata: “Terlalu banyak ragam yang telah saya temui. Ramai di antara mereka yang berpelajaran dan berpangkat besar pun sanggup mengeluarkan kata-kata yang menghiris dan memalukan saya.

“Lebih menyedihkan, mereka tertawa berdekah-dekah, kononnya penyakit tangan berpeluh saya ini sesuatu yang sangat kelakar. Saya sendiri tak faham kenapa mereka berfikiran sedemikian rupa.“

Bukan itu sahaja, beritahu Mohd Ariff, keadaan yang paling mencabar adalah ketika perlu bersalam-salaman.

Iklan

“Ada yang mencebik bibir dan terdapat juga yang terus cepat-cepat lap tangan selepas berjabat tangan dengan saya. Paling teruk, ada yang siap tunjukkan reaksi geli-geleman,“ tutur anak jati Melaka itu penuh kesal.

Disebabkan selalu berdepan dengan keadaan itu yang sememangnya meragut emosinya, Mohd Arif lebih rela mendiamkan diri dan tidak kisah jika dianggap sombong kerana memencilkan diri.

“Saya jadi trauma dengan reaksi berlebihan mereka. Jadi, saya ambil pendekatan tidak bersalaman kecuali dengan keluarga rapat sahaja,“ tambahnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!