Ayam pongteh unik kerana taucunya

A
A
A

BAGI masyarakat Baba Nyonya, ayam pongteh merupakan sajian signatur paling popular mereka.

Di beberapa restoran terkemuka di Melaka, ada menyediakan menu tersebut, namun cara penyediaannya berbeza-beza.

Baru-baru ini, SinarPlus menghubungi salah seorang penggemar masakan tersebut, Siti Zakiah Dzulkadir atau mesra disapa Tiyah.

Siti Zakiah.

Walaupun bukan berasal dari negeri bersejarah itu, beliau sanggup mempelajari kulinari tersebut selepas pertama kali mencubanya di salah sebuah restoran di bandar Melaka.

"Sebelum beredar dari premis tersebut, saya sempat bertanya kepada pemilik kedai mengenai masakan ayam pongteh memandangkan terdapat sedikit kelainan yang tidak pernah saya rasa sebelum ini. Kemudian, saya membuat carian dalam internet dan mengolah sedikit menu itu sebelum dikongsikan di platform media sosial," ceritanya.

Ujar Tiyah, ayam pongteh dari Melaka dan Pulau Pinang sedikit berbeza, namun kedua-duanya tetap lazat.

"Masakan versi Melaka biasanya dimasak menggunakan kicap pekat manis dan gula melaka. Itu sebab bila dihidangkan di atas pinggan, warnanya lebih gelap berbanding dengan teknik masakan orang Pulau Pinang," kata wanita yang berasal dari Jerantut, Pahang itu.

Mengulas lanjut, kata Tiyah, untuk memasak ayam pongteh, pemilihan taucu yang berkualiti sangat penting.

"Maksud kualiti di sini adalah taucu itu tak terlalu masin dan tak pula terlalu hancur," katanya.

Beliau menambah, sesetengah tukang masak lebih cenderung menggoreng ayam terlebih dulu, namun ada yang suka mencampurkan terus ayam mentah bersama bahan-bahan lain.

"Terpulang kepada teknik dan selera masing-masing, kedua-dua cara tetap menghasilkan ayam pongteh yang sedap. Bagi memberi tambah nilai kepada sajian, ada juga yang suka tambah cendawan, rebung, akar teratai, kentang dan sebagainya," katanya.

Seperkara, rasa ayam pongteh memang tidak pedas, justeru sambal belacan dicadangkan dimakan bersama dengan nasi.

  • Nama: Siti Zakiah Dulkadir
  • Umur: 32 tahun
  • Asal: Jerantut, Pahang
  • Menetap: Seri Kembangan, Selangor
  • Facebook: Siti Zakiah II
  • Instagram: @dapurtiyah

Bahan-bahan

  • 6 hingga 7 ketul ayam
  • 1 biji bawang Belanda (1/2 dikisar dan selebihnya dihiris)
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3 sudu makan taucu
  • 4 sudu besar kicap pekat manis
  • 1 kentang (dipotong empat)

Bahan hiasan

  • Lada hijau
  • Daun bawang

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar seperti bawang merah, bawang putih dan halia sehingga garing.
  2. Kemudian, masukkan taucu, kicap manis dan kacau sebati.
  3. Selepas itu, letak ayam, kentang dan kacau sehingga keluar air ayam.
  4. Bubur garam dan perasa jika perlu.
  5. Masukkan air secukupnya untuk mereneh ayam sehingga masak dan lembut.
  6. Tutup periuk dan masak selama 20 minit. Tunggu sehingga ayam lembut dan kentang empuk
  7. Setelah masak, masukkan bahan hiasan (bawang hiris, lada dan daun bawang).
  8. Ayam pongteh sedia untuk dihidangkan dan dimakan bersama sambal belacan.

Sumber Siti Zakiah Dzulkadir

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca