ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Bersama

DR FARIDZATUL AZNA SARONI

PEGAWAI PERUBATAN, PUSAT PERUBATAN KAJANG PLAZA

(Beliau diundang menjadi panel dalam program DNA yang membicarakan topik Covid-19: Kemurungan Sampai Tahap Hendak Bunuh Diri baru-baru ini)

SOALAN 2

DOKTOR, bolehkah doktor jelaskan apa itu kemurungan, kebimbangan, stres dan perasaan cemas kerana masih ramai keliru akan definisi setiap perkataan tersebut. Selain itu, bagaimanakah seseorang itu boleh tahu dirinya mempunyai masalah kemurungan? Apakah antara tanda-tanda atau gejala utama yang jelas pesakit yang sedang berhadapan dengan masalah itu?

Jawapan:

Sebenarnya, masalah kesihatan mental sangat banyak dan luas. Namun, terdapat beberapa pengelasan kemelut itu yang sangat biasa dihadapi oleh pesakit yang boleh dikatakan bermula dengan gangguan emosi.

Penting untuk diketahui, kesemua masalah itu merupakan gangguan emosi yang melibatkan tiga komponen terbesar iaitu stres, kemurungan dan kebimbangan.

Iklan

Dalam pada itu, tanda-tanda yang akan dihadapi oleh pesakit tidak banyak perbezaan, tetapi punca dan cara mengatasi menjadi penentu terpenting bagi mereka.

Selain itu, stres pula adalah perkara yang normal dalam kehidupan kerana sememangnya terdapat tekanan.

Pun demikian, istilah stres itu menjadi bebanan apabila ia berlaku lalu seseorang itu tidak dapat untuk menguruskannya dengan baik.

Iklan

Jadi, apabila situasi tersebut tidak dapat diadaptasi dan kekal berterusan, ia boleh menimbulkan masalah tambahan lain iaitu kemurungan dan kebimbangan melampau.

Kesannya, apabila pesakit sudah menjengah ke kancah cemas secara keterlaluan itu, pesakit akan merasakan serba-serbi kerisauan, menyebabkan jantung berdebar dan takut sehingga memberi impak paling bahaya iaitu menganggap diri tidak berguna.

Secara ringkasnya, kesemua hal itu sangat berkait rapat dan seseorang itu perlu tahu gejala dan simptom utama yang dihadapi olehnya.

IMBAS kod QR ini untuk menonton video DNA secara penuh.