Bayi jaundis bukan ‘demam’ kuning

No Image Caption
A
A
A

JAUNDIS(JAUNDICE) adalah warna kulit dan mata putih menjadi kekuningan disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah.

Sebenarnya, bayi kuning atau neonatal jaundice adalah jaundis yang berlaku dalam masa sebulan selepas bayi lahir.

Kata Dr. Arisman, ia sering berlaku pada bayi. Buktinya 50 peratus bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan.

Lazimnya, jaundis yang berlaku pada usia kanak-kanak yang melebihi satu bulan, dewasa atau orang tua adalah TIDAK NORMAL dan ia merupakan gejala kepada satu penyakit hati (liver) .

Apakah itu bilirubin?

“Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis dan air kencing.

“Cara untuk kurangkan bilirubin yang berlebihan itu adalah dengan memberikan air susu badan yang cukup, maka bayi boleh kencing dan berak kerap untuk keluarkan bilirubin,” jelasnya

Jenis-jenis jaundis pada bayi dan penyebabnya adalah seperti di bawah:

1. Fisiologi jaundis

  • Jaundis bermula selepas 48 jam dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama atau kedua kelahiran.

2. Patologi jaundis

  • Ketidakserasian kumpulan darah antara ibu dan anak. (Bila ibu mempunyai Rhesus negatif atau kumpulan darah ‘O’).
  • Defisiensi G6PD pada bayi. Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Bagaimanapun, tidak lebih daripada 5 peratus bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir.
  • Jangkitan kuman pada bayi.

Jaundis dianggap berpanjangan apabila keadaan kekuningan berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang cukup bulan dan 21 hari bagi bayi pramatang.

Ia disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:

  • Penyusuan susu ibu sepenuhnya (breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan tidak berbahaya pada bayi selagi ibu tidak mengambil ubat-ubatan tradisional.
  • Penyekatan aliran hempedu daripada hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat. Bagaimanapun, kes ini jarang terjadi.
  • Kekurangan hormon tiroid. Kes ini sangat jarang, satu daripada 4000 kelahiran. Melalui program saringan kebangsaan, semua bayi yang lahir akan dilakukan pemeriksaan saringan menggunakan darah tali pusat.

Jadi, buat ibu bapa di luar sana, usah bimbang jika anak kecil mengalami jaundis kerana bayi mungkin sihat jika mereka cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk, jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk serta bayi anda sihat dan aktif.

Bagaimanapun, segera dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian lanjut sekiranya :

  • Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.
  • Peningkatan kekuningan yang cepat.
  • Bayi mengalami defisiensi G6PD.
  • Bayi kelihatan tidak aktif dan tidak mahu / kurang menyusu.
  • Najis bayi kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat (seperti warna teh).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca