Dulu tak pernah pegang alat muzik, kini anak FELDA menang emas & ukir nama Malaysia di Prague

No Image Caption
A
A
A

BUKAN kumpulan elit dari sekolah antarabangsa mahupun sekolah ternama. Namun, usaha dan doa menjadikan impian kumpulan ini menjadi kenyataan.

Siapa sangka, anak-anak FELDA mampu berdiri megah di pentas muzik antarabangsa di Eropah. Itulah kisah luar biasa Maremaf Wind Orchestra (MAWO) dari MRSM FELDA Trolak, yang baharu sahaja mencipta sejarah dengan menyertai International Festival of Wind Orchestra Prague 2025, Republik Czech.

Bukan calang-calang acara. Festival itu disertai oleh peserta dari pelbagai negara termasuk Jerman, Belgium, Belanda, dan negara-negara Eropah lain. Di celah-celah nama besar itu, berdirilah anak-anak Malaysia, dari luar bandar!

Lebih membanggakan, mereka telah memenangi anugerah emas Golden Diploma Award bagi kategori penyertaan middle class dan berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra dari enam buah negara.

No Image Caption

Terdapat tiga kategori orkestra yang dipertandingkan tahun ini iaitu bermula dengan lower class, middle class hingga ke higher class yang ditentukan jenisnya melalui tahap kesukaran muzik, kecekapan teknikal dan pengalaman kumpulan orkestra tersebut.

Mereka terdiri daripada lebih 50 pelajar tingkatan 2 hingga 5 yang mana ada di kalangan mereka langsung tak pernah pegang alat muzik. Tetapi dengan latihan, disiplin, dan bimbingan cikgu-cikgu bersemangat, mereka berjaya ke tahap ini.

Melalui video pendek yang dimuatnaik di Facebook FELDA, salah seorang peserta mengatakan lima tahun mereka menunggu untuk mengecapi nama di peringkat antarabangsa. Kini, impian mereka bukan lagi sekadar mimpi.

Apa yang menjadikan kisah ini lebih istimewa adalah latar belakang mereka. MAWO dibarisi oleh pelajar yang rata-ratanya anak peneroka FELDA. Budak kampung yang selalunya tidak diberi peluang sebesar ini.

Perjalanan MAWO ini diharap akan jadi titik tolak kepada lebih banyak peluang diberikan kepada pelajar-pelajar luar bandar, terutamanya dalam bidang seni dan budaya.

International Festival of Wind Orchestra Prague 2025 ini disertai 13 kumpulan orkestra dari 11 negara termasuk Malaysia yang satu-satunya wakil dari Asia manakala 10 lagi adalah dari negara Eropah.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang