RUMAH bau masakan? Ikan goreng? Kari ayam? Atau bilik bau hapak? Jangan risau kerana Sinar Plus akan kongsikan cara untuk menghilangkan bau busuk pada ruang rumah anda sekali gus berikan bau yang menyegarkan. Barulah dapat duduk dengan tenang.

Apa yang anda perlukan ialah sediakan bahan-bahan ini.

1.Kulit limau dan kulit kayu manis

Pertama sekali sediakan kulit limau dan kulit kayu manis. Kemudian didihkan air bersama kulit limau itu. Setelah didih, masukkan sedikit serbuk kulit kayu manis. Biarkan ianya masak sehingga naik bau yang beraroma. Setelah itu, biarkan ia sejuk dan masukkan ke dalam botol spray. Siap! Sekarang anda boleh gunakan ia untuk mengharumkan ruang dapur dan rumah anda.

2.Limau kasturi

Siapa sahaja yang tidak suka bau limau kasturi yang menyegarkan? Anda hanya perlu hiris limau kasturi dan letakkannya ke dalam bekas berisi air. Jika ingin ia kelihatan cantik, boleh letakkan ia ke dalam bekas kaca dan jadikan dekorasi ruang tamu anda. Mudahkan? Ruang rumah cantik di samping menghasilkan bau yang menyegarkan!

3.Arang

Walaupun bentuk dan warna arang ini tidak cantik tetapi ia mampu menghilangkan bau busuk dalam rumah anda. Hanya ambil beberapa ketul arang dan letakkannya di sudut ruang rumah. Ia akan menyedut segala bau busuk di ruang itu. Kalau nak nampak cantik, anda juga boleh meletakkan arang itu di dalam sebuah bekas kecil dan letak di atas sudut meja sebagai hiasan.

Iklan

4.Soda bikarbonat

Cara penyediaan soda bikarbonat ini sama seperti arang tadi. Hanya perlu letakkan soda bikarbonat dalam bekas kecil dan letakkannya di sudut rumah. Ia turut mampu menyerap bau yang tidak menyelerakan.

5.Daun pandan

Iklan

Jika anda seorang yang sukakan bau ala-ala haruman bunga, anda boleh gunakan daun pandan. Caranya simpulkan daun pandan dan letakkannya di dalam bekas. Jika anda ingin bau daun pandan ini lebih semerbak, anda boleh hiriskannya dan letak di dalam bekas yang terbuka. Pasti harum ruang rumah anda.

Inilah antara bahan-bahan yang boleh disediakan untuk memberi haruman dalam ruang rumah anda. Mudah sahaja untuk menyediakannya. Selamat mencuba!

PENULIS: SUHAILA ALI