Enam beradik di Melaka kreatif bawa kelainan sajian tradisi dodol perisa laici, strawberi dan kopi

JIKA sebelum ini dodol antara kuih yang sering dicari ketika Hari Raya Aidilfitri, namun sejak kebelakangan ini, sambutannya agak suram. Mungkin tempias akibat tidak dapat pulang ke kampung agaknya!

Perkembangan itu diakui oleh rata-rata pengusaha dodol yang ditemu bual penulis baru-baru ini.

Namun, mereka tidak berputus asa, sebaliknya berusaha menggali formula lebih menarik untuk mencuri perhatian masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda yang segelintirnya tidak mengenali sajian hebat warisan zaman berzaman itu.

Salah sebuah perniagaan berasaskan dodol yang diusahakan oleh enam beradik, Hamidahku Industry di Umbai, Melaka nampaknya berjaya menemui ‘rahsia’ bagaimana menarik perhatian orang ramai untuk jatuh cinta dengan menu tradisi itu.

Kepada SinarPlus, Pengurus Hamidahku Industry, Atika Liakatali berkata, sesuai dengan kehendak masa kini, mereka telah menghasilkan tujuh jenis dodol yang dijual dalam bentuk kiub, mangkuk mini, bungkusan daun mengkuang dan upih pinang di bawah jenama Dodol Tradisi Mama.

Iklan
Iklan

Lebih membuatkan penulis teruja, selain menyediakan dodol asli gula melaka, durian dan pandan, mereka telah mengolah tambahan empat perisa lain iaitu laici, strawberi, jagung dan kopi.

Berkongsi keunikan sajian tersebut, anak kedua daripada enam beradik itu berkata, inovasi itu telah diperkenalkan sejak tahun 2017.

“Alhamdulillah, alternatif yang dirintis oleh kami itu berjaya menambat hati pelanggan terutamanya golongan muda dan kanak-kanak. Sebelum ini hanya tiga perisa biasa sahaja, tapi selepas kami ambil alih (syarikat), kami berpendapat sesuatu perlu dilakukan untuk memperhebatkan lagi menu warisan ini.

“Jadi, kami sepakat buat penyelidikan dan pembangunan produk dan tak sangka ramai yang suka, ” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ahli perniagaan berusia 34 tahun itu memberitahu, beberapa tahun lalu, mereka hanya menjual dodol pada musim perayaan sahaja. Namun, disebabkan momentum bisnes yamg positif, pada setiap hari Hamidahku Industry akan melakukan produksi dodol bagi memenuhi permintaan pasaran.

Selain Atika yang bergiat aktif, lima beradiknya iaitu Baharuddin, 35, Khairul Izwan, 31, Atirah, 29, Khairuddin, 25, dan Khairul Syazwan, 19, turut berpadu tenaga memajukan perusahaan tiga generasi itu.

Ditanya tentang penangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan kedatangan pelanggan ke premis mereka, Atika berkata, jualan dalam talian cukup memberangsangkan terutamanya bagi dodol perisa asli, durian dan pandan.

Berkesempatan menemubualnya, penulis bertanyakan tentang tip bagaimana mengekalkan kesegaran produk dodol yang dijual.

Atika yang tidak lokek ilmu berkata, pihaknya akan memastikan sajian berkenaan dimasak lebih kurang lapan jam lamanya. Dodol kami juga dimasak setiap hari untuk memenuhi tempahan yang bertali arus.

Demi menjamin keenakan berpanjangan juga, kualiti produk dan pes bahan yang digunakan dijaga rapi.

“Apa yang penting, adunannya mesti lembut, berbau wangi dan tidak melekit. Barulah pelanggan teringat-ingat dodol jenama kami,” selorohnya.

Sebagai tambah nilai, perusahaan bumiputera tersebut turut menghasilkan menu warisan tradisional yang lain seperti wajik pulut dan sirat serta emping padi yang jarang-jarang boleh diperoleh di pasaran tempatan.

Dodol Tradisi Mama

  • Alamat: 3537, KM15 Bukit Dodol, Umbai Melaka
  • Waktu operasi: 9 pagi hingga 8 malam
  • Menu signatur: Dodol asli, durian dan pandan
  • Harga: RM17
  • Facebook: Dodol Tradisi Mama

Dodol antara sajian yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Meskipun generasi muda sekarang seolah-oleh memandang sepi menu warisan itu, sebenarnya kelompok yang meminatinya cukup ramai.

Seiring dengan peralihan masa, pengusaha dodol juga telah mentransisikan produk mereka dalam bentuk yang lebih kreatif.

Ada dalam kalangan mereka dilihat masih mengekalkan konsep konvensional seperti membalut dodol dengan daun upih pinang dan palas bagi mengekalkan aroma, namun lebih ramai membungkusnya dalam berbentuk kuib, sumi dan sebagainya.

Pada kali ini, SinarPlus ingin mencadangkan empat perusahaan dodol lain selain di Melaka. Semuanya boleh ditempah secara online.

Dodol Sumi Ani

  • Alamat: 1098, Batu 47 1/4 , Tali Air 7, Sungai Leman, Sekincan, Selangor
  • Waktu operasi: Bermula jam 2 petang
  • Menu signatur: Dodol berperisa asli, durian, pulut hitam, kacang merah, pandan, labu, nanas, jagung dan kurma
  • Harga: RM5 hingga RM20
  • Facebook: Dodol Ani

Dodol Balang Penang

  • Alamat: Gerai Perda Ruang Niaga Perda, Jalan Nelayan, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang
  • Waktu operasi: 10.30 pagi hingga 5.30 petang
  • Menu signatur: Dodol klasik, pandan dan durian
  • Harga: RM16 hingga RM20
  • Facebook: Dodol Penang by FnC Kola

Dodol Upih Johor

  • Menu signatur: Dodol kelapa dan durian
  • Harga: RM8
  • Facebook: Nurulhuda Salleh

Dodol Palas Terengganu

  • Menu signatur: Dodol asli
  • Harga: Satu pek (40biji) RM20
  • Facebook: Yaya Daffodil
Share
Arziana Mohmad Azaman

 

Published by
Arziana Mohmad Azaman

Recent Posts

Tiara Jacquelina ziarah pusara Hani Mohsin buat warganet terkenang Allahyarham. ’18 tahun berlalu, ALLAH sayang orang baik’

SIAPA tidak kenal pelakon dan pengacara tersohor era 90-an dan 2000-an, Hani Mohsin. Pemergiannya pada…

5 hours ago

Destinasi sarapan pagi viral di Pulau Pinang, ini rupanya rahsia tarikan rumah klasik

MESKIPUN baru beroperasi sejak Julai tahun lalu, Rumah Makan yang terletak di Batu Maung, Bayan…

6 hours ago

‘Hitam memang menawan, wanita berkerjaya perlu berani mencuba…’ – Nabilah Nordin & Andrea Wong

RAMAI beranggapan pemakaian berwarna hitam seseorang itu nampak ‘kurus’, ‘selamat’ bahkan mudah disuai padankan dengan…

7 hours ago

Adik mangsa pokok tumbang dedah abang sangat ambil berat, jaga bapa sakit. ‘Semua orang cuba call, rupanya telefon sudah pecah’

INSIDEN pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur menggemparkan negara. Lebih menyedihkan, kejadian pada…

9 hours ago

Kesan asid sulfurik pekat, melecur tahap 4 boleh rosakkan organ dalaman, doktor perjelas kemungkinan dihadapi Faisal Halim

TRAGIS dan memilukan, insiden khianat simbah asid melibatkan tonggak utama Selangor FC, Faisal Halim menyentuh…

13 hours ago

Enjoy stay di dangau tersorok dekat Lenggong, Perak. Nikmati sajian rare tradisi orang kampung, memang menyelerakan!

LENGGONG yang terletak kira-kira 100 kilometer dari utara Ipoh, Perak sebenarnya mempunyai destinasi hidden gems…

13 hours ago