PENYANYI, pengacara dan pelakon Afieq Shazwan mula menceburi bidang hiburan ketika usianya mencecah 11 tahun.

Seiring dengan peningkatan usia, penyanyi lagu Lelaki Di Telefon itu bukan sahaja memastikan momentum kerjayanya berada pada tahap optimum, tetapi penjagaan kesihatan dan penampilan beliau turut terpelihara.

Kata pemilik nama lengkap Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, beliau akan memastikan aktiviti bersukan dan masa yang diluangkan di gimnasium seimbang.

Penampilan Afieq mengenakan baju Melayu sempena menyambut Syawal.

“Dengan berbuat demikian, mudah untuk saya mengetahui kadar pengambilan kalori atau tenaga yang diperlukan. Jika sepanjang tempoh seminggu saya sudah banyak melakukan aktiviti sukan seperti bermain futsal dan badminton, saya akan kurangkan tempoh masa di gimnasium atau tidak ke sana langsung.

“Pemilihan jenis makanan juga berbeza kerana apabila bersukan saya memerlukan banyak tenaga,” terang pelakon drama rantaian Diari Seorang Suami itu yang kini berusia 23 tahun itu.

Ingin tahu lebih lanjut bagaimana Afiq memastikan kondisi kesihatan dan penampilan, ikuti temu bual SinarPlus bersama pemenang tempat ketiga Big Stage musim pertama itu.

SINARPLUS (SP): Bagaimanakah Afieq memulakan hari sebelum mula bekerja?

AFIEQ SHAZWAN: Secara peribadi, saya seorang yang sukakan sarapan pagi. Sebelum pukul 10 pagi, saya akan mengambil makanan seperti sekeping roti putih atau beberapa keping biskut tanpa gula. Kemudian saya akan meluangkan masa di gimnasium dalam beberapa jam.

Setelah selesai, saya akan makan sekali lagi untuk menambah tenaga. Saya lebihkan karbohidrat dan protein asli. Saya tidak mengambil sebarang pengambilan protein tambahan kerana memiliki kadar kandungan gula yang tinggi. Oleh itu, saya hanya akan mengambil makanan seperti ayam, telur dan ikan.

SP: Sekiranya tidak berkesempatan atau jadual kerja yang padat, adakah Afiq akan memilih untuk mengambil makanan segera bagi mengelakkan rasa lapar?

AFIEQ SHAZWAN: Tidak dinafikan kadangkala jadual kerja yang padat membuatkan kita fikir untuk mengambil makanan yang cepat dan mudah. Saya juga begitu, tetapi jenis makanan segera yang sering diambil ialah sandwic atau onigiri. Bagaimanapun, sesekali saya akan mengambil makanan segera, namun pada jumlah yang terhad dan mengikut acara (tajaan).

Afieq gemar menggunakan motosikal berkuasa besar ke mana sahaja.

SP: Melihat kepada beberapa perkongsian di Instagram, Afiq seperti sedang membina badan. Adakah ia dilakukan kerana ingin memperlihatkan bahawa anda sudah dewasa atau bagaimana?

AFIEQ SHAZWAN: Saya tidak bermaksud untuk membuktikan apa-apa. Saya menggunakan tenaga yang ada untuk memenuhi minat dan hobi terhadap bersukan termasuk aktiviti lasak. Perubahan bentuk fizikal berlaku kerana saya seorang penggemar sukan. Saya menganggap ia sebegai satu bonus dan tiada sebarang maksud tersirat.

Sebelum ini, saya akan pergi ke gimnasium setiap hari jika kelapangan. Namun, sejak penularan virus Covid-19, saya mengehadkan masa ke tempat awam sebagai langkah berjaga-jaga. Sementara itu, bagi sukan badminton saya mula bermain sekitar pukul 10 atau 11 malam, manakala futsal bergantung kepada kebolehsediaan ahli lain.

SP: Sebagai seorang selebriti yang muncul di kaca televisyen, bagaimanakah anda menjaga kesihatan kulit wajah?

Iklan

AFIEQ SHAZWAN: Mudah dan senang. Secara peribadi, saya tidak terlalu menjaga kulit wajah melainkan mencuci pada setiap pagi. Begitu juga pada setiap kali selesai memakai solekan selepas membuat persembahan atau penggambaran. Pengambilan air putih yang cukup juga baik bagi mengelakkan dehidrasi.

Selepas bangun tidur saya akan pastikan diri minum air putih. Setiap kali ke mana sahaja, saya juga akan membawa sebotol air putih 1.5 liter atau membelinya di kedai. Saya juga agak kurang mengambil minuman manis kerana akan cepat berasa dahaga.

SP: Selain menjaga fizikal luaran, bagaimanakah Afiq ingin memastikan kesihatan mental dan emosi turut terpelihara?

AFIEQ SHAZWAN: Sukar untuk saya jelaskan secara terperinci mengenai perkara itu. Sejujurnya saya sendiri pernah berada dalam situasi sukar terutama setiap apa yang dirancang tidak berjaya. Setiap kali perkara itu berlaku, saya akan ambil masa untuk bertenang seketika.

Sekiranya ada masalah, saya akan bercerita dengan mama atau sesiapa yang terdekat. Paling penting individu tersebut boleh dipercayai. Pada saya, mama satu-satunya tempat untuk berkongsi cerita memandangkan saya masih solo lagi.

SP: Sengaja mahu mengusik, anda mempunyai sebarang perancangan untuk mencari kekasih?

Iklan

AFIEQ SHAZWAN: Saya selesa begini sahaja duhulu. Lagipun kisah peribadi biarlah menjadi simpanan saya sendiri. Pada saya ia tidak perlu digembar-gempurkan sehinggalah perkara itu benar-benar berlaku (perkahwinan).

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI