[SENORITA KAYANGAN]: Guna mayat untuk buktikan virus Covid-19 bertahan 9 jam pada kulit manusia
SELEPASSenorita Kayangan menulis beberapa artikel tentang Covid-19 dan menyunting tulisan wartawan-wartawan SinarPlus, rata-rata pakar yang ditemu bual menekankan peri pentingnya mencuci tangan setiap kali kita menyentuh sesuatu.
Tidak kiralah terpegang tombol pintu ke, butang lif atau apa sahaja permukaan, segeralah mencuci tangan dengan sabun. Jika tiada sumber air, pakailah cecair pembasmi kuman.
Rakan-rakan Senorita Kayangan di Indonesia, Thailand, Mexico, Poland, Amerika Syarikat (AS) waima di Tanzania pun menerusi timeline Facebook, mereka memuat naik saranan kerajaan masing-masing tentang kepentingan membasuh tangan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyarankan pendekatan sama.
Pendek kata, amalan membawa facemask, hand sanitizer termasuk sebatang pen dan letak dalam beg kalau kita ke mana-mana memang sangat digalakkan. Kiranya mandotorilah pada era Covid-19 ini.
Sekarang ini, mahu masuk ke mana-mana waima ke kedai runcit Aceh pun kena scan suhu badan dan diminta menulis nama, nombor telefon dan suhu. Jika tidak, 'sila keluar', kata cashier kedai Aceh yang pernah Senorita Kayangan singgah baru-baru ini. Selepas keluar beli-belah, pelanggan diminta mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman yang mereka sediakan.
Walau ada sesetengah pelanggan berpendapat, pendekatan kedai Aceh agak 'ekstrem' sebab mereka kata 'kedai Aceh je kot', tetapi apabila difikir balik, memang betul tindakan mereka. Hal nyawa, bukan boleh dibawa main-main.
Sebenarnya, Senorita Kayangan sengaja menarik perhatian bercakap perihal membasuh tangan ini kerana tertarik dengan satu kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik Jepun dari Kyoto Prefectural University of Medicine, Jepunyang disiarkan menerusi Associated Press beberapa hari lalu.
Kajian itu telah diterbitkan dalam Jurnal Oxford Academic in Clinical Infectious Diseases pada 3 Oktober 2020.
Jurnal itu melaporkan, penyelidik dari kampus berkenaan mendapati, virus korona dapat bertahan pada kulit manusia selama kira-kira 9 jam, jauh lebih lama daripada virus selesema (influenza).
Thailand Medical News yang kemudian menghubungi salah seorang penyelidik kajian itu, Prof Dr Ryohei Hirose berkata, kajian mereka menunjukkan virus SARS-CoV-2 lebih berisiko daripada virus IAV (virus influenza) kerana virus SARS-CoV-2 lebih stabil apabila melekat pada tangan manusia.
"Kajian kami juga menyokong hipotesis yang menyatakan amalan mencuci tangan merupakan praktis paling penting mencegah penyebaran jangkitan SARS-CoV-2 (Covid-19) pada manusia," katanya.
Ujar beliau lagi, kedua-dua virus iaitu SARS-CoV-2 dan influenza boleh dibasmi sepenuhnya setelah 15 saat kita menggunakan etanol (80 persen) yang biasanya terdapat pembersih atau sabun.
Guna kulit mayat
Bunyinya memang menakutkan tetapi menerusi jurnal itu, kumpulan penyelidikan menyatakan mereka telah menggunakan kulit mayat manusia yang baharu diautopsi!
Kulit mayat itu diambil sehari selepas seorang individu meninggal dunia. Dalam durasi itu, kulit manusia yang telah mati masih sama dengan yang masih hidup.
Dr Ryohei berkata, selain bertahan pada kulit manusia selama 9 jam, virus SARS-CoV-2 boleh kekal ada selama 11 jam jika ia (virus) bercampur dengan lendir (droplet) yang dilepaskan seseorang melalui bersin atau batuk.
Sebelum ini, penyelidik daripada Sekolah Perubatan Harvard hanya mengkaji 'ketahanan' virus Covid-19 selama 4 jam pada tembaga, 24 jam pada kadbod dan dua hingga tiga hari pada plastik dan keluli tahan karat.
Kiranya, kajian penyelidik Jepun lebih terkehadapan berbanding Harvard.
Pun demikian, penemuan kedua-dua negara iaitu Jepun dan AS tetap sama iaitu galakan mencuci tangan selama 20 saat selepas bersentuhan tidak kira selepas anda pegang plastik bungkus makanan atau apa juga perbuatan bersentuhan pada sebarang objek.
Adalah lebih baik sekiranya, permukaan pada dinding rumah kita, lantai, pemegang tangga, tangga, kadbod atau tiang dibersihkan terlebih dahulu dengan menggunakan detergen dan air.
Digalakkan dilakukan secara kerap jika kita jenis yang aktif ke satu tempat ke tempat lain. Ini bukan cadangan Senorita Kayangan tau, tetapi orang bijak pandai di Harvard.
Hah, satu poin yang Senorita Kayangan hampir tertinggal, kita juga harus memakai topeng walaupun dalam perjumpaan luar yang berjarak cuma lebih kurang 6 kaki atau kira-kira 2 meter.
Apa yang Senorita Kayangan cakap ini bukan atas pandangan sendiri tetapi Senorita Kayangan terbaca artikel mengenai saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, AS.
Kena ingat, virus bergerak melalui udara dan tidak ada garis yang terang yang manusia normal macam kita boleh lihat.
Sebelum menutup tirai, buat masa ini, apa kata kita hold dulu hasrat nak berkunjung ke shopping mall ataupun di kawasan-kawasan terbuka.
Mana yang boleh pesan secara online, kita pesan cara normal baharu itu meskipun Senorita Kayangan tengok, banyak harga seperti beras perang, suplemen dan susu kesihatan yang biasanya Senorita Kayangan beli, sedikit mahal melalui platform online.
Apa nak buat, bagi Senorita Kayangan, tak mengapalah kita spend sedikit, asalkan kesihatan kita terjaga.
Jom cegah fenomena mega kluster Covid-19 sebelum terjadi. Sampai jumpa lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang