Hati-hati, masalah mulut berbau boleh cetuskan penyakit kronik. Ini penjelasan pegawai perubatan
NAFAS atau mulut berbau memang satu perkara yang kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bahawa kita mengalaminya. Mungkin kita perasan masalah itu berlaku pada orang lain, sedangkan diri sendiri tidak.
Mulut berbau atau dikenali sebagai halitosis boleh dialami semua orang terutamanya mereka yang baru sahaja bangun daripada tidur atau selepas mengambil makanan atau minuman yang berbau.
Hakikatnya, nafas berbau akan menyebabkan seseorang itu merasa malu dan rendah diri.
Bukan itu sahaja, lebih parah ia, akan mengganggu hubungan kita semasa berkomunikasi secara dekat dengan orang.
Mengulas permasalahan berkenaan, Pengawai Perubatan di sebuah klinik swasta, Dr Hamizan Jailani menerusi e-melnya kepada SinarPlus berkata, lazimnya kemelut berkenaan terjadi akibat daripada tindak balas bakteria dengan makanan yang tertinggal di dalam mulut.
“Halitosis biasanya berlaku pada saat bangun tidur kerana pada waktu itu pH air liur lebih berasid, kurang aktiviti mengunyah dan bercakap menyebabkan persekitaran mulut amat sesuai untuk aktiviti pembiakan bakteria.
“Bakteria berkenaan merembeskan hasil perkumuhan yang terdiri daripada asid dan juga sulfur (Volatile Sulfur Compounds -VSCs) yang menyebabkan bau kurang enak atau busuk.
"Oleh sebab itu, kebanyakan bakteria itu bersifat anaerob (hidup tanpa oksigen) dan itulah alasan mengapa kebanyakan bakteria berkenaan akan hidup di kawasan yang susah dibersihkan seperti celah-celah gigi, gusi, lidah dan gigi palsu," katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi ciapan Twitter @KKMPutrajaya pula menjelaskan, masalah mulut berbau juga berkemungkinan menjadi petanda seseorang mengalami penyakit berbahaya.
Antaranya seperti masalah kesihatan pada rongga, hidung dan paru-paru.
Seseorang juga barangkali berdepan dengan masalah kesihatan pada sistem pencernaan dan mungkin penyakit kronik lain seperti buah pinggang dan kegagalan fungsi hati.
Baca juga Bercuti sambil tebus e-baucar bernilai RM100! ‘first come first serve’
Nampaknya, masalah mulut berbau tidak boleh dipandang ringan rupa-rupanya. Nasihat SinarPlus, segera berjumpa dengan pakar untuk pemeriksaan lanjut.
Berikut SinarPlus kongsikan 10 cara bagi menghindari mulut berbau seperti yang disyorkan oleh Bahagian Kesihatan Pergigian Daerah Barat Daya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang:
1. Berus gigi setiap dua kali sehari.
2. Gosok lidah (setiap kali memberus gigi).
3. Flos gigi sekurang-kurangnya sekali sehari.
4. Gunakan pencuci mulut seperti yang disarankan oleh doktor gigi.
5. Bersihkan gigi palsu setiap hari.
6. Elakkan mulut kering dengan meminum air secukupnya.
7. Kurangkan memakan makanan yang berbau kuat seperti durian dan petai.
8. Elakkan menghisap rokok dan mengambil alkohol kerana ia akan menyebabkan mulut berbau.
9. Lakukan rawatan penskaleran dan tampalan.
10. Lakukan pemeriksaan gigi setiap enam bulan sekali.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang