Dari butik ke galeri, Siti Khadijah buka pintu pengalaman pelancongan gaya hidup Muslimah

DARI sekadar sehelai telekung putih yang disulam kemas, kini Siti Khadijah membawa kita menyelami lebih dalam makna keanggunan Muslimah menerusi pembukaan Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah, Negeri Sembilan.
Bukan sekadar sebuah galeri biasa, tetapi ruang pengalaman menyeluruh yang menghimpunkan kisah perjalanan, inovasi dan nilai-nilai yang telah membentuk jenama ini selama lebih 15 tahun.

Majlis pelancaran galeri yang cukup istimewa itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn Bhd, Mohammad Munzir Aminuddin, galeri tersebut diwujudkan sebagai ‘One Stop Centre’ yang membolehkan pengunjung mendalami sendiri cerita di sebalik jenama yang sinonim dengan telekung berkualiti tinggi itu.

Ia bukan sahaja mengembalikan memori tentang bagaimana Siti Khadijah bermula dengan langkah kecil, malah memperlihatkan bagaimana ia berkembang menjadi jenama yang dihormati dan diyakini ramai.
Di sebalik pintu galeri ini tersimpan pelbagai elemen menarik, dari pameran reka bentuk muka telekung yang berkembang saban tahun, hingga ke makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memberi gambaran tentang proses pemilihan fabrik dan penghasilan produk.
Lebih menarik, terdapat sudut interaktif yang membolehkan pengunjung menyentuh dan merasai sendiri pelbagai jenis fabrik eksklusif yang digunakan dalam produk-produk Siti Khadijah.

Pelancongan gaya hidup Muslimah
Ruang berkenaan jelas bukan sekadar untuk melihat, tetapi untuk merasai dengan deria sendiri setiap nilai dan ketelitian yang diterapkan dalam setiap helaian.
Satu lagi momen yang mencuri perhatian ialah ruangan ‘Experience Centre’, yang mana demonstrasi menjahit sejadah mini berlangsung secara langsung. Di sinilah pengunjung dapat menyaksikan hasil kerja tangan penuh teliti oleh tenaga kerja tempatan, sesuatu yang sering kali tidak kita sedari nilainya ketika membeli sesuatu produk siap.
Mohammad Munzir turut menekankan bahawa galeri ini adalah langkah pertama menjadikan Siti Khadijah sebagai jenama tempatan pertama dalam segmen ibadah dan gaya hidup yang menawarkan destinasi lawatan fizikal.
Ia bukan sahaja memperkenalkan warisan dan budaya kepada orang ramai, malah memberi inspirasi kepada generasi muda, khususnya mereka yang bercita-cita membina jenama sendiri suatu hari nanti.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan galeri ini sebagai satu usaha memperkukuh pelancongan domestik, bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga dalam konteks pelancongan Malaysia secara menyeluruh.

Galeri itu katanya, mampu memberi nafas baharu kepada pelancongan gaya hidup Muslimah yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran tokoh penting di sebalik jenama ini, Pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda.

Turut hadir ialah Isteri Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Yang Mulia Che Puan Isteri Che Puan Anis Sobari, serta anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz bersama para tetamu kehormat lain.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang