Dari kios kecil ke Dubai: Kisah Sugarbomb angkat budaya, kreativiti dan inovasi tempatan ke mata dunia
SETIAP impian besar bermula dengan langkah kecil, tetapi keberanian untuk mencuba yang membezakan yang biasa dan luar biasa.
Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd, yang bermula dari kios kecil, kini menembusi pasaran antarabangsa.
Sekali gus membuktikan, anak Malaysia mampu membawa budaya, kreativiti dan inovasi tempatan ke mata dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Ahmad Azhari Rosli berkata, tiada yang mustahil jika kita berani bermimpi dan bertindak.

“Selain mengekalkan warisan, kami mahu setiap semburan memberikan meninggalkan momen istimewa. Misalnya untuk bauan segar pagi dan embun akan membawa kembali kita ke zaman waktu kecil dahulu.
“Dengan kata lain, inilah satu-satunya haruman nostalgia yang boleh anda rasai sendiri. Pada masa sama, saya juga menganggap ia bukan sekadar produk, sebaliknya memaparkan budaya dan inovasi,” ujarnya ketika memulakan bicara awal bersama SinarPlus.
Dengan kilang di Klang, Selangor, jenama tersebut terus mencabar diri untuk mengharumkan jenama dan mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Nyata impian tersebut bukan sekadar angan-angan kerana berjaya direalisasikan pada akhir Oktober lalu.
Lebih membanggakan, mereka menjadi satu-satunya wakil ASEAN yang menyertai Dubai Beautyworld Middle East 2025.
“Kami mahu membawa warisan Malaysia ke pentas dunia. Jika kita berani bercita-cita tinggi dan mencipta kelainan, dunia akan ambil tahu.
“Bukan itu sahaja, setiap langkah yang kami ambil adalah untuk membuka jalan bagi usahawan muda lain,” ujarnya yang juga merupakan pengasas jenama tersebut.
Penyertaan kali kedua itu memberi peluang untuk lebih kreatif, tampil kelainan, dan belajar daripada pengalaman sebelumnya.

Lima wangian ikonik iaitu Bara Senja, Suci Nurani, Titis Embun, Seloka Malam dan Gemersik Sutera di bawa ke sana. Masing-masing membawa cerita tersendiri.
Pada masa sama, pihaknya mengadakan kolaborasi dengan Tinta Sutera dari Kelantan untuk mencanting motif batik eksklusif pada setiap botol menjadikan setiap botol unik dan istimewa.
Tembusi pasaran global
Bukan itu sahaja, bagi menampakkan ia lebih eksklusif, tiada dua botol yang sama menjadikan setiap wangian ibarat karya seni yang memadukan tradisi dan modeniti.
Kongsi Azhari lagi, kejayaan di Dubai juga disokong kerjasama dengan Givaudan, salah satu pembekal parfum terbesar dunia, meningkatkan lagi kredibiliti Sugarbomb di peringkat global.
“Produk tempatan yang unik mampu menembusi pasaran antarabangsa jika kita yakin dengan cerita dan identiti sendiri.
“Sambutan hangat daripada pedagang dan pengunjung membuktikan usaha keras kita berbaloi.
Optimis dengan sambutan orang ramai, pihaknya meletakkan sasaran jualan RM1 juta, manakala pelancaran koleksi terbaharu di Malaysia dijangka mencatat jualan RM4 hingga RM5 juta dalam tempoh singkat.

“Sugarbomb kini menembusi pasaran Dubai, Filipina, Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom dan India, dengan rancangan memasuki Eropah, Argentina dan Amerika Utara.
“Kami mahu menjadi pelopor bagi usahawan Malaysia lain untuk membawa budaya negara ke mata dunia.
“Pada saya, setiap kejayaan kecil hari ini adalah batu loncatan untuk impian yang lebih besar esok.
“Kami bermula dengan langkah kecil beberapa tahun lalu dan menggunakan modal sendiri. Objektif kami mudah, mahu menjadi duta yang membawa nama Malaysia ke mata dunia,” katanya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
