'Sibuk macam mana pun, ilmu tetap kena kejar' – Ligat menerbit drama, Hasniza berjaya tamat ijazah sarjana di UPSI

No Image Caption
A
A
A

DALAM dunia seni yang sentiasa bergerak laju, tidak ramai yang sanggup menambah beban dengan kembali menyambung pengajian. 

Namun bagi Datuk Hasniza Nordin, kesibukannya sebagai penerbit dan pemilik Saphire Screen Sdn Bhd langsung tidak mematahkan semangat untuk terus belajar.

Baru-baru ini, figura disegani industri kreatif itu muncul di pentas Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan melalui laluan APEL-Q, bukti jelas bahawa komitmen besar dalam kerjaya bukan alasan untuk berhenti menimba ilmu.

“Biar sibuk macam mana pun, ilmu tetap kena kejar,” katanya sambil tersenyum, mengenang semula perjalanan setahun yang penuh cabaran demi menamatkan pengajian tersebut.

Menurut Hasniza, kejayaan itu datang daripada usaha gigih dan disiplin yang tinggi sepanjang tempoh belajar. 

“Setahun kami belajar untuk Master ini, memang bukan mudah.

"Tetapi bila berdiri di pentas konvokesyen, saya rasa semua pengorbanan itu sangat berbaloi,” ujarnya lagi.

Sebagai penerbit yang bertanggungjawab terhadap drama-drama popular seperti Obsesi, Sekam Di Dada dan Bisik Asmara, waktu kerjanya sering berlanjutan ke malam. Namun minat terhadap seni menjadi bahan bakar yang menggerakkan langkahnya.

“Semuanya kerana minat. Dunia seni memang mencabar, tapi semangat itulah yang buat saya terus berada di sini,” katanya, menggambarkan dirinya sebagai seorang yang sentiasa mencari peluang baharu untuk berkarya.

No Image Caption

Mengakui dirinya seorang workaholic, Hasniza tidak pernah lokek meletakkan sepenuh jiwa dalam setiap projek.

 “Saya memang jenis yang suka bekerja tidak kira masa. Kerja bagi saya adalah satu tanggungjawab. 

"Bila kita pegang amanah, kita kena buat betul-betul,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UPSI yang banyak memberi sokongan kepada penggiat seni. 

Kampus tersebut bukan asing buat produksi Saphire Screen kerana menjadi lokasi penggambaran bagi beberapa siri drama mereka.

“Terima kasih kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, dan seluruh warga universiti kerana memberi kepercayaan kepada kami. 

"Dalam setahun, tiga hingga empat drama syarikat saya dijalankan di sini. UPSI memang terbaik,” tambahnya.

Antara karya terbitan Saphire Screen sebelum ini termasuk Perempuan Ilmu Hitam, Presiden Kampung Morten, Imamku Okey dan Obsesi Dia. Drama baharu bertajuk Sumpah Ibuku pula bakal bersiaran di TV3 pada November ini dengan barisan pelakon seperti Datuk Remy Ishak, Izara Aisyah, Liza Abdullah, Zara Zya dan Syazuwan Zulkifli.

Sementara itu, drama Bisik Asmara kini dalam proses penggambaran dan menampilkan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Sophia Al Barakbah serta Ruminah Sidek. Ia dijangka menemui penonton pada Januari tahun depan.

Bagi Hasniza, kejayaan akademik ini bukan penutup perjalanan tetapi permulaan baharu untuk terus berkembang sebagai penerbit, usahawan dan penggiat seni.

Dan pesanannya jelas, sibuk bukan alasan untuk berhenti belajar, kerana ilmu adalah pelita yang menerangi setiap langkah dalam hidup dan kerjaya.

Sumber: Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang