KERABU mempunyai peminatnya tersendiri. Sesekali jika bosan dengan masakan sayur yang biasa, bolehlah cuba membuat kerabu. Sedap dan ringkas, boleh diratah gitu je!

Kerabu tauge misalnya salah satu daripada kerabu yang popular. Sementelah kosnya murah, cara menyediakannya pun ringkas.

Resipi dikongsi Siti Hazneza binti Abdul Hamid ini bolehlah dicuba. Resipi kerabu yang agak kering itu diwarisi daripada ibu dan neneknya.

“Kerabu ini versi sayuran sahaja kecuali belacan yang diperbuat daripda udang. Boleh tambah perut lembu, kerang atau udang jika mahu,” katanya.

KERABU TAUGE

Bahan-bahan
2 biji bawang besar – mayang nipis
2 inci halia – potong jurai
1 bunga kantan – cincang
2 batng serai – ambil bahagian lembut dan hiris nipis
½ cawan beras – disangai dan tumbuk kasar
2 cawan kerisik – tumbuk sekejap sahaja untuk kuatkan wangi dan rasa, tidak perlu sampai pecah minyak
1 cawan sambal belacan/ secukup rasa

Cara penyediaan

1-200 g tauge dibuang ekor dan dicelur.

2-Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul rata.

3-Seimbangkan perisa. Tambah air asam jawa, garam, gula dan sambal belacan jika perlu.

4-Siap. Rangup dan kering. Jika suka versi yang basah, boleh letak dua hingga tiga sudu makan santan ya.

Khasiat tauge

Jangan pandang rendah sayur yang murah, tauge sarat dengan khasiat diperlukan tubuh. Salah satunya ialah mengandungi dua kali ganda lebih banyak protein berbanding daging lembu atau ayam. Rugilah kepada mereka yang kutip buang tauge kan? Berikut lima manfaatnya kepada kesihatan:

1-Kaya enzim
Berbanding sayur-sayuran lain, tauge mengandungi 100 kali ganda enzim yang sangat penting terutamanya untuk proses pencernaan. Enzim mampu membantu individu yang mempunyai masalah penghadaman dan kembung perut.

Iklan

2-Sumber serat yang baik
Serat membantu meleraikan lemak dan toksin dalam tubuh badan lalu mengeluarkannya. Ini sekali gus dapat membantu anda mengawal berat badan.

3-Kaya antioksidan
Tauge kaya antioksidan dan asid amino yang penting melawan kanser dan memperbaiki fungsi otak. Dalam masa yang sama, memakannya juga sebenarnya adalah amalan awet muda yang sangat bagus.

4-Tinggi asid lemak
Selain itu, ia juga sangat kaya dengan asid lemak. Kebanyakan individu tidak mendapatkan asid lemak omega-3 kerana hanya bergantung kepada makanan laut atau telur sahaja. Jadi tauge boleh menjadi sumber alternatifnya.

Iklan

5-Sarat dengan vitamin
Tauge sangat kaya dengan vitamin seperti vitamin A, C, E dan pelbagai lagi dalam keluarga vitamin B. Vitamin-vitamin ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan tubuh badan.

Sumber: Siti Hazneza, Hello Doktor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi