'Birthday girl' belanja petrol percuma, reaksi warga emas ini buat ramai sebak. 'Selagi motor ini bergerak, pahala terus mengalir...'
SETIAP kali tiba hari ulang tahun kelahiran, suasana meriah dengan kehadiran insan tersayang yang selalunya tampil dengan pelbagai cara kreatif untuk menceriakan si empunya hari.
Berbeza daripada kebiasaan itu, seorang wanita yang menyambut ulang tahun baru-baru ini menjadikan hari lahirnya sebagai peluang untuk membahagiakan orang lain, berbanding menerima sambutan semata-mata.
Menerusi video tular di media sosial, wanita yang dikenali sebagai Anis mendatangi stesen minyak lalu menyatakan hasrat murni untuk membelanja isian petrol percuma kepada penunggang motorsikal.
Tanpa menunggu lama di lokasi, Anis menyerahkan sepenuhnya urusan kepada petugas stesen sebelum beredar kerana perlu segera ke tempat kerja.
Namun, video yang dirakam dan dikongsi oleh petugas atas inisiatif sendiri berjaya meruntun hati warganet dengan reaksi penerima yang cukup menyentuh perasaan.
Menambah lagi rasa sebak, petugas stesen minyak sempat meminta setiap penerima sumbangan untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Anis.
Antara ucapan ringkas yang paling menyentuh hati daripada seorang warga emas yang kelihatan cukup terharu sambil mendoakan agar setiap perjalanan ke arah kebaikan diberikan ganjaran pahala.
"Selamat hari lahir, semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan.
"Terima kasih kepada orang yang menyumbangkan minyak petrol pada hari ini, semoga segala perjalanan ke arah kebaikan diberikan ganjaran pahala kepadanya," luah syukur penerima isian petrol percuma.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum dan terinspirasi dengan tindakan murni yang ditunjukkan Anis.
Malah, pemilik akaun Thread @serenityreadwithhana turut menyedari bahawa untuk merasa bahagia sebenarnya tidak sukar apabila cukup dengan membuat orang lain tersenyum.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
