SELAIN kuih akok dan nekbat, kuih buah tanjung juga merupakan salah satu jenis kuih tradisional Melayu yang popular di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pun demikian, disebabkan tidak ramai yang boleh membikinnya, sajian klasik berkenaan sukar ditemui di Kelantan, lebih-lebih di negeri-negeri lain.

SinarPlus bertuah kerana dapat menemubual seorang peniaga yang sudah lebih 20 tahun menjual kuih itu, Zanita Mat Ali selepas sekian lama melakukan pencarian.

Zanita.

Ujar Zanita, kuih buah tajung merupakan sejenis pemanis mulut yang menggunakan telur lalu dicampurkan dengan tepung dan disira dalam air gula.

“Meskipun hanya menggunakan empat bahan sahaja, cara penyediaannya sedikit rumit dan cerewet. Itu sebab kuih buah tanjong ini kurang dijual secara meluas seperti kuih-kuih lain,” katanya yang mempelajari kulinari tersebut daripada ibunya sejak dibangku sekolah lagi.

Ujar ibu kepada lapan anak itu, kebiasaannya kudapan istimewa berkenaan disajikan pada majlis tertentu seperti meraikan mempelai atau dijadikan hantaran.

Bercerita lanjut, Zanita berkata, terdapat dua jenis warna yang ditawarkan kepada pelanggan bagi menikmati kuih buah tanjung iaitu oren dan kuning.

“Jika warna oren, keseluruhan telur itik (kuning dan putih) digunakan, manakala bagi warna kuning pula, saya hanya menggunakan bahagian yang berwarna kuning sahaja,” maklumnya.

Untuk menghasilkan kuih berkenaan, tiada sebarang acuan digunakan.

“Saya hanya membentuk adunan dengan menggunakan jari sahaja. Apabila bentuknya sudah menyamai buah tanjung sebenar dan saya berpuas hati, segalanya selesai,” katanya sambil tertawa kecil

Wanita itu menambah, beliau sebenarnya tidak membuka sebarang premis perniagaan, sebaliknya menjual kepada pengusaha kedai di sekitar Pasir Pekan, selain turut mempromosikannya di media-media sosial hasil bantuan anak dan menantunya.

“Memang saya tak nafikan, kuih buah tanjung antara juadah yang sangat laku. Saya hanya menjualnya pada harga RM3 untuk 15 biji untuk satu bekas. Harganya sangat berpatutaan.

Iklan

“Selain kuih istimewa yang jarang ditemui itu, saya turut berniaga kuih-muih lain seperti kuih jala mas, tahi itik dan sekaya. Setiap hari, saya akan akan menggunakan hampir 300 biji telur untuk menyiapkan semua menu itu,” katanya.

Wanita gigih tersebut turut menerima tempahan kuih bagi hantaran bagi majlis perkahwinan dengan saiz tertentu.

PROFIL

  • Nama: Zanita Mat Ali
  • Umur: 48 tahun
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Menetap: Tumpat, Kelantan

RESIPI KUIH BUAH TANJUNG

Iklan

Bahan-bahan

  • 10 biji kuning telur itik
  • 1 kilogram tepung beras
  • 1 kilogram gula
  • 500 mililiter air

Cara penyediaan:

  1. Masak gula bersama air sehingga mendidih.
  2. Kemudian, kisar kuning telur hingga kembang lalu masukkan ke dalam tepung dan uli menjadi doh yang lembut.
  3. Cubit adunan menggunakan tiga hujung jari dan bentukkan seperti buah tanjung.
  4. Kemudian, masukkan ke dalam air gula sehingga meresap barulah di angkat.

Sumber Zanita Mat Ali