Kuih nostalgia pilihan mak ayah kita, buah beluru menu Ramadan
RUPANYA persis kuih tepung gomak. Namun begitu, masyarakat di Ulu Perak memanggilnya dengan nama buah beluru dek bentuknya yang leper seperti buah hutan berkenaan.
Sekali pandang, fizikalnya juga tak ubah seperti makanan masyarakat Jepun iaitu mochi kerana teksturnya seakan sama. Apa yang membezakan hanyalah inti dan adunannya.
Di Pantai Timur, penduduknya mengenali juadah berkenaan dengan nama kuih 'tepung gomok'. Di utara, ada pula yang memberi gelaran nama 'abuk-abuk'.
Biarpun pelbagai nama diberikan, apa yang membuatkan kuih tradisional disukai ramai itu lain daripada yang lain adalah pada penggunaan jenis tepung dan variasi inti.
Bagi peminat kuih tradisional, Fatin Damia Ulfa Shuib, cara pembuatan menu itu berbeza di setiap negeri.
“Orang Kelantan dan Terengganu menggunakan beras pulut yang dikisar halus, manakala kebanyakan resipi menggunakan tepung pulut.
“Ada yang menggunakan inti kacang hijau yang disalut kelapa. Ada juga yang hanya menggunakan inti kelapa yang dimasak bersama gula merah atau gula melaka,” ujar anak kelahiran Sibu, Sarawak itu kepada SinarPlus.
Tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu, keunikan kuih tersebut di Pantai Timur lebih menonjol. Ia dicampur kelapa dan beras sebelum digentel dan digolekkan ke dalam serbuk beras pulut.
Berhabuk
Menurut Fatin, kebanyakan tempat di utara tanah air mengenali kuih itu sebagai kuih tepung gomak. Akan tetapi, beliau menggelarnya abuk-abuk memandangkan keadaannya yang berhabuk.
“Resipi kuih tradisi tepung gomak ini ada banyak versi. Ada yang guna ubi keledek rebus dimasukkan ke dalam doh tepung atau kulit tepung gomak. Ada setengah resipi pula letak sedikit tepung gandum dalam inti.
Artikel berkaitan: Bahulu gebu express guna sandwich maker je, bujang pun boleh!
“Mungkin ramai tak pernah dengar kuih buah beluru berbanding nama 'komersialnya', tepung gomak,” katanya.
Taksub dengan keistimewaan kuih tradisional mendorong gadis kacukan Cina, Siam dan Iban itu menghabiskan masa ‘berjalan’ di negeri orang untuk belajar membuat kuih warisan.
“Sejak PKP dilaksanakan, saya tak boleh pergi kerja. Jadi, saya ambil peluang ini dengan buat kuih dan jual. Tak sangka sambutan cukup luar jangkaan,” ungkapnya yang turut mengadakan kelas membuat kek, biskut dan kuih online.
Resipi Kuih Buah Beluru
Bahan Bahan A
- 1 cawan tepung pulut
- Secubit garam
- Air secukupnya
Bahan Bahan B
- Kelapa parut (ambil bahagian putih saja)
- Secubit garam
- 1-2 helai daun pandan
- Sedikit tepung gandum (untuk memekatkan inti)
- Gula merah (boleh juga guna gula melaka jika suka)
Bahan Bahan C
- 1 cawan kacang hijau yang disangai di atas kuali. Setelah sejuk, kisar halus semuanya sehingga menjadi tepung dan ayakkan.
Cara-caranya:
- Campurkan tepung pulut, air dan garam.
- Uli sampai semua bahan sebati dan bulat-bulatkan ikut saiz yang disukai. (seperti kaedah membuat onde-onde)
- Masukkan semua bahan yang bertanda dalam periuk dan masak sampai semua bahan masak.
- Leperkan doh yang dibulat-bulatkan tadi dan letakkan inti kelapa di dalamnya.
- Rebus dalam air panas sampai adunan timbul.
- Salutkan dengan tepung kacang hijau dan susun dalam pinggan. Siap untuk dinikmati.
Tip:
*Jika menggunakan tepung kacang hijau segera, sangai dahulu tepung di dalam kuali selama 5 minit sebelum digunakan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang