KULIT popia yang telah dibuka dan disimpan di dalam peti sejuk biasanya akan menjadi keras dan kering. Jika diletakkan terlalu lama di luar selepas dihidangkan juga boleh menyebabkan kulit popia menjadi kering. Sayang pula jika hendak dibuang.

Sebenarnya ada cara yang boleh dilakukan bagi melembutkan kembali kulit popia itu. Seorang pengguna Facebook, Bee Kang telah berkongsi tip untuk dipraktikkan oleh warga maya.

Baca juga: Senjata rahsia popia laku keras, usahawan ini kreatif guna lima jenis tepung dan sos istimewa

Berikut cara-cara hendak melembutkan kulit popia setelah lama disimpan di dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku.

LANGKAH DEMI LANGKAH:
1. Dalam kuali atau periuk, stim lapiskan lubang-lubang dulang pengukus dengan kain bersih yang lembap. Kain perlu diperah hingga betul-betul kering, tiada air menitis langsung. Boleh masak dahulu kain dalam air panas bagi memastikan tiada kuman dan kain benar-benar bersih.
2. Letakkan kulit popia tersebut dan tutupkan dengan satu lagi kain bersih yang lembap di bahagian atas.
3. Pastikan air tidak terlalu banyak atau dekat dengan dulang pengukus, jika tidak semasa air mendidih, basah pula kulit popia tersebut. Stim selama 10 hingga 15 minit.
4. Buka penutup stim dan pastikan kulit popia betul-betul lembut. Jika kulit popia masih belum lembut, boleh stim lagi tapi sekejap sahaja.
5. Semasa menyediakan hidangan popia, alihkan kulit popia tersebut sekali dengan kain atas dan bawah ke dalam pinggan. Cara ini akan mengekalkan kelembapan sehingga popia habis dimakan.

Bagaimanapun kulit popia tidak boleh dibiarkan terlalu lama atau seharian di dalam suhu bilik. Kain lembap boleh menyebabkan kulit popia basi dan berlakunya keracunan makanan.

Baca juga: Rangup dan mudah! Ini resipi kerepek bawang, popia simpul dan rempeyek

Jika popia tidak habis dimakan, simpan terus ke dalam peti sejuk. Jika hendak makan, barulah dikukus lagi.

Sebenarnya cara penyimpanan juga memainkan peranan penting.

Untuk mengelakkan kulit popia menjadi keras selepas dibuka atau selepas disimpan semula dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku, pastikan mulut pembukaan plastik kulit popia dilekat dengan pelekat yang lebar sehingga kedap udara.

Iklan

Perlu diketahui bahawa jika disimpan terlalu lama, kulit popia tetap akan hilang kelembapan, kering dan menjadi keras.

Keadaan menjadi lebih teruk jika plastik kulit popia dibiarkan terbuka dan terus disimpan ke dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku. Ia boleh menjadi pecah dan merekah.

Baca juga: Mudahnya bikin popia seaweed… ringan, rangup je hasilnya

Iklan

Sumber: Bee Keng (Masak Apa Hari Ni)

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.