DALAM era dunia yang semakin canggih, teknologi kecerdasan buatan menjadi daya penarik utama untuk pengeluar automotif dunia ‘mengumpan’ minat generasi muda bagi mendapatkan kenderaan keluaran mereka.

Selain spesifikasi pemanduan robot dan ciri sofistikated yang lain seperti sistem komunikasi canggih, terdapat satu lagi idea lebih ke hadapan yang diperkenalkan iaitu kenderaan yang menggunakan teknologi keluli ringan.

Inovasi itu kini menjadi pilihan bukan hanya disebabkan fungsinya yang hebat, tetapi kelebihan jentera yang dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sekali gus menyahut seruan terhadap kempen pembangunan teknologi hijau.

jentera paling ringan

Dalam kajian automotif yang sudah dibahaskan sejak 2005 lagi, kemajuan tersebut bukan sahaja mampu memberi jaminan penjimatan minyak, bahkan memantapkan lagi teknologi kimpalan keluli yang semakin menjadi pilihan syarikat automatif bertaraf global.

Beberapa pengeluar terkemuka dunia juga dilihat telah bergabung tenaga menggunakan teknologi aeroangkasa dalam penghasilan kenderaan jenama masing-masing.

Pada minggu ini, SinarPlus kongsikan lima kenderaan premium yang berjaya mencapai berat minimum berbanding model keluaran terdahulu. Ia sudah  sudah dibuka untuk tempahan, namun hanya dipasarkan di negara-negara tertentu.

1. LEXUS LC

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Jepun
  • Harga: Bermula RM1,205,217

jentera paling ringanMelihat hala tuju pembuatan kereta kian berubah, pengeluar jenama Jepun itu juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan jentera lebih ringan untuk varian terbaharu, Lexus LC.

Jenama tersebut sememangnya menyediakan material berkualiti. Antaranya pembuatan pada bahagian rangka besi menggunakan bahan ultra elastik bermutu.

Sebagai contoh, elemen Lightweight Carbon Fibre Reinforced Plastic menjadi bahan utama untuk reka bentuk dalaman dan kekemasan luaran pada Lexus LC.

2. JAGUAR LAND ROVER

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: England
  • Harga: Bermula RM426,828 hingga RM939,000

jentera paling ringan

Tata Motors melangkah lebih jauh ke hadapan apabila menggunakan teknologi aeroangkasa dalam pembuatan jentera terbaharu, Jaguar Land Rover.

Difahamkan jenama itu adalah perintis kepada kajian aeroangkasa melibatkan kemampuan komposit dan keluli ringan sejak dua tahun lalu.

Mereka juga mencuba menggunakan sampel keluli untuk fizikal ekstrem kenderaan yang boleh bergerak sejauh 400,000 kilometer.

Jaguar Land Rover juga sedang berusaha menjadi peneraju global dalam teknologi rendah karbon.

3. PEUGEOT 508

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Perancis
  • Harga: Bermula RM328,000

jentera paling ringan

Reka bentuk varian Peugeot Sport Engineered terbaharu, Peugeot 508 nampaknya lebih maskulin dengan desain lebih sporty dan moden.

Iklan

Apa yang penting, reka bentuk fitur baharu itu berjaya mengurangkan 70 kilogram (kg) berat berbanding model terdahulu dengan pendekatan cukup ‘radikal’.

Untuk mencapai berat minimum, bonet dan pintu depan menggunakan aluminium berkualiti, manakala pintu belakang dengan termoplastik.

4. NISSAN QASHQAI

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Jepun
  • Harga: Bermula RM120,236 hingga RM164,056

jentera paling ringan

Generasi ketiga Nissan Qashqai tidak kurang hebatnya.

Penggunaan material lebih ringan ditambah dengan proses stamping yang lebih efisien, selain teknik kimpalan sempurna telah berjaya meningkatkan kekuatan rangka besi dan mengurangkan berat kenderaan.

Buat pertama kalinya dalam sejarah teknologi pembuatan jentera jenama Jepun itu, mereka menghasilkan pintu hatchback belakang dengan material komposit yang mampu mengurangkan berat hingga 2.6kg.

Iklan

Teknologi pembuatan yang lebih maju tersebut berjaya mengurangkan 60kg beban kereta, bahkan 42 peratus struktur lebih ‘padu’ berbanding model terdahulu.

5. KIA NIRO

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Korea Selatan
  • Harga: Bermula RM102,204 hingga RM136,396

jentera paling ringan

Diperbuat daripada 53 peratus keluli berkualiti tinggi, rekaan terbaharu Kia Niro lebih mantap dan ringan dengan elemen aluminium pada bonet dan panel pintu belakang bagi mengurangkan berat jentera.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa bahagian dalaman kenderaan keluaran Korea Selatan itu diperbuat daripada gentian plastik dan penutup berlapis busa istimewa bagi mencapai tujuan sama.

Sebagai contoh, pedal brek diperbuat daripada gentian plastik, sementara reka bentuk tempat duduk menggunakan rangka keluli bermutu tinggi. Ia  mampu menjimatkan beban hingga 1.3kg setiap satu.