Mahu Daging Harimau Menangis lebih berjus, lembap dan beraroma? Ikut panduan ini, pasti menjadi
JIKA kalian perasan, antara isu yang paling viral pada tahun ini adalah mengenai resipi Daging Harimau Menangis.
Hal tersebut heboh diperkatakan apabila sebuah perusahaan mahu membuat permohonan cap dagangan ke atas nama resipi berkenaan.
Kemelut itu pun sudah reda. Namun, selepas pembacaan demi pembacaan dilakukan, SinarPlus mendapati nama menu tersebut sudah lama dititipkan sejak zaman dulu kala lagi.
Berdasarkan cerita rakyat, ia mempunyai kaitan dengan kejadian yang menimpa seekor harimau.
Seperti yang dikisahkan, haiwan berkenaan sangat kecewa, lalu menangis apabila isi potongan daging batang pinang dari bahagian seekor lembu yang dibahamnya sukar untuk dimakan.
Bermula dari detik, maka terhasillah kulinari bernama Daging Harimau Menangis.
Kalau diikutkan jua, masakan tersebut turut popular di Thailand. Ia dipanggil sebagai Sua Rong Rai dan menjadi antara hidangan popular di restoran negara Gajah Putih itu.
Tidak keterlaluan dikatakan, segelintir generasi sekarang mungkin berasa janggal mendengar nama menu berkenaan. Pun begitu, senario itu berubah pada era pandemik Covid-19 apabila hidangan berkenaan semakin diperkatakan.
Situasi itu diakui oleh seorang pengusaha, Siti Akmaliyah Shuhaimi yang mengusahakan perniagaan menjual Daging Harimau Menangis dengan versinya sendiri di bawah jenama Rora Rona Rasa.
Siti Akmaliyah berkata, bagi menghasilkan rasa dan aroma yang memukau, beliau menggunakan bahan-bahan berkualiti seperti campuran sos lada hitam, sos tiram, sos barbeku, kicap manis, bawang putih, bawang merah dan garam.
"Kemudian daging yang telah dicampurkan dengan semua rencah itu diperap selama sehari supaya sosnya menyerap dengan lebih sekata, padu dan berjus.
"Sekiranya ingin dimasak segera, wajib perap daging sekitar satu atau dua jam sebelum dipanggang," katanya.
Ujar Pengasas Rora Rona Rasa itu lagi, tip untuk memasak Daging Harimau Menangis adalah menggunakan api yang sederhana.
"Dengan cara sebegitu, daging tidak menjadi terlalu kering, lebih lembap, lembut dan enak.
"Jika dimasak dengan api yang besar atau yang suhu tinggi, ia boleh menjejaskan rasa daging," jelasnya sambil menambah menu popular berkenaan juga boleh digoreng biasa atau ditambah dengan sos lada hitam.
Selain boleh dimakan dengan nasi panas, Daging Harimau Menangis juga enak dimakan bersama roti, kata Siti Akmaliyah.
RESIPI DAGING HARIMAU MENANGIS
170 gram sos barbeku
120 gram sos lada hitam
35 gram sos tiram
60 gram kicap manis
15 gram lada hitam
80 gram bawang merah
10 gram bawang putih
32 gram gula halus
½ sudu teh garam
Cara penyediaan:
Gaul daging dengan semua bahan perapan.
Biarkan sekitar satu jam atau seharian agar adunan sebati dan rasa daging lebih berjus.
Panaskan minyak di dalam kuali tidak melekat dengan api sederhana.
Guna sedikit minyak kerana daging sendiri akan menghasilkan minyak.
Panggang daging sehingga air menjadi kering.
Setelah kering, perlahankan api dan biar seketika sehingga daging menjadi garing
Kemudian boleh diangkat untuk dihidangkan.
Bahan-bahan sos
1 ulas bawang putih
2 batang cili padi
1 sudu teh sos ikan
½ sudu teh garam
½ sudu teh gula
1 ½ sudu perahan limau nipis
15 gram daun ketumbar
Cara penyediaan:
Campurkan bawang putih, cili padi dan daun ketumbar ke dalam lesung batu dan tumbuk sehingga hancur
Campurkan sos ikan, garam, gula dan perahan limau nipis.
Gaul bahan sehingga sebati dan siap dihidang.
Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang