JIKA sebelum ini ramai mengandaikan menikmati sajian enak dalam kereta api sudah cukup unik, namun trend terkini menyaksikan makan di dalam bas vintaj menjadi pilihan terbaharu.

BW Bus Restaurant yang terletak di Ranau, Sabah misalnya menawarkan pengalaman hebat itu kepada semua pelanggannya.

Ternyata, pendekatan itu menjadikan restoran milik usahawan muda, John Chin dikunjungi ramai.

John berkata, beliau membeli empat buah bas vintaj yang suatu ketika dulu merupakan jentera pengangkutan awam yang pernah mewarnai laluan di pedalaman Sabah terutama di Ranau.

kafe dalam bas

Anak jati Sabah itu berkata, disebabkan rasa sayangnya terhadap bas-bas lama yang terbiar begitu sahaja, beliau nekad membelinya dan kemudian mengubahnya menjadi sebuah restoran.

“Kebanyakan pelanggan yang datang ke sini gembira dapat mengembalikan nostalgia lama. Mereka memberi jolokan bas ini sebagai bas terbang.

“Ya, rasa lucu juga. Ia mungkin gara-gara bas itu diletakkan di tempat yang agak tinggi,“ katanya yang teruja apabila restoran itu menjadi pilihan pengguna Instagram untuk mengabadikan foto kenangan dan kemudian menularkannya.

Sementara itu, menurut pengurus restoran berkenaan, Veronica Wong, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati sajian unik, bahkan turut dijamu dengan pemandangan memukau Gunung Kinabalu di BW Bus Restaurant.

Ujarnya, selain makanan Barat, pihaknya menyediakan lebih 10 jenis minuman. Antara yang wajib dicuba ialah set air milo gergasi khas untuk mereka yang berselera besar.

kafe dalam bas

Namun, makanan signatur bas terbang itu iaitu aiskrim kelapa juga perlu disenaraikan dalam pesanan. Ia dipenuhi dengan kelembutan isi kelapa yang dikisar halus dan lemak manis rasanya.

Menikmati hidangan dengan pelbagai menu yang lazat boleh membuatkan pengunjung terpesona dengan keindahan alam semula jadi terutamanya pada waktu petang.

“Apa yang menarik di sini, angin sejuk dengan suasana berkabus pada sebelah pagi dan petang menjadikan restoran kami yang terletak di kaki gunung ini cukup romantik. Ditambah dengan rumah kaca dan gelongsor gergasi membuatkan mereka yang hadir rasa terhibur,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Artikel berkaitan: Di sebalik hutan pun ada kafe menu istimewa? Ini 4 lokasi menarik buat kaki makan

Sebagai tambah nilai, para pelanggan juga boleh singgah di zoo mini berdekatan yang menempatkan pelbagai spesies burung kakak tua dan murai.

Bercerita tentang konsep dekorasi pula, Veronica berkata, pihaknya menambah keselesaan pada bas berkenaan tanpa mengubah struktur dalaman termasuk tempat duduk pemandu yang lengkap dengan stereng.

BW Bus Restaurant

Iklan
  • Alamat: Batu 7, Kampung Pinausok Kundasang, Ranau, Sabah
  • Waktu operasi: 9 pagi hingga 9 malam
  • Menu signatur: Aiskrim kelapa
  • Harga: RM5 hingga RM30
  • Facebook: BW Bus Restaurant
  • Instagram: @bwbusrestaurant

Keunikan konsep makan dalam bas vintaj sememangnya menjadi tarikan lebih-lebih BW Bus Restaurant memiliki pemandangan Gunung Kinabalu sebagai bonus tambahan.

Jika di Kepulauan Borneo, mereka mempunyai BW Bus Restaurant, di semenanjung juga tidak kurang hebatnya.

Menerusi carian melalui media sosial, terdapat tiga lagi kafe yang memiliki konsep makan di dalam bas.

Sajian yang dihidangkan juga menarik dan memenuhi cita rasa orang ramai.

Jom ajak keluarga ke tiga destinasi yang dicadangkan:

kafe dalam bas

Iklan

Bus Cafe Sekinchan

  • Alamat: Jalan Tali Air 4, Tanjong Karang, Selangor
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 9 malam (tutup setiap Selasa dan Rabu)
  • Sajian signatur: Honey Grilled Smoke Duck dan Fried Chicken Chop
  • Harga: RM3 hingga RM26
  • Facebook: N16 Bus Cafe Sekinchan
  • Instagram: @buscafesekinchan

kafe dalam bas

Night Bus 127

  • Alamat:Lot 389, Jalan Klang Banting, Batu 13 Jenjarom, Selangor
  • Waktu operasi: 5 petang hingga 12 malam (tutup setiap Selasa)
  • Sajian signatur: Homemade Lamb Burger
  • Harga: RM8 hingga RM40
  • Facebook: NightBus 127
  • Instagram: @nightbus127

kafe dalam bas

Azra Grill

  • Alamat: Restoran Bas Azra Grill, Arked Sri Bengkulu, Simpang 3, Sungai Choh, Rawang Selangor.
  • Waktu operasi: 12 tengahari sehingga 12 malam (tutup setiap Rabu)
  • Sajian signatur: Chicken Grilled dan Beef Rib Eye Steak
  • Harga: RM9.90 hingga RM17.90
  • Facebook: Azra Grill
  • Instagram: @azragrill