REVOLUSI teknologi industri permotoran bukan sahaja memfokuskan kepada kereta, malah kepada motosikal kuasa tinggi juga.

Seiring dengan kemajuan teknologi yang bergerak pantas, beberapa syarikat gergasi global telah memperbaharui ciri-ciri terbaik pada setiap jentera yang dihasilkan. Antaranya dengan menampilkan motosikal yang dijanakan dengan kuasa elektrik.

Kebanyakan pemerhati berpendapat, motosikal jenis berkenaan merupakan jentera pada masa depan kerana sifatnya yang lebih futuristik, pemanduan yang autonomi dan mudah dicas.

Selain itu, beberapa jentera motosikal berkuasa elektrik turut menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI), dilengkapi dengan reka bentuk lebih ringan dan selamat.

Penggunaan motosikal berkuasa elektrik dilihat telah digunakan secara meluas di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Adakah momentum yang sama mempengaruhi pengguna di Malaysia? Barangkali lima model edisi terhad yang disenaraikan bakal mengubah fikiran anda untuk menggunakan kenderaan yang lebih mesra alam dan menyokong perkembangan teknologi hijau.

Harganya memang jauh lebih mahal, namun kepada mereka yang berwang, hal itu mungkin bukan satu masalah besar.

 

Baca juga Karavan, Camper Van jadi semakin mendapat tempat di Malaysia. Jom tinjau 5 ‘rumah bergerak tercanggih 

 

Tarform

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Tarform Motorcycles (Amerika Syarikat)
  • Harga: Bermula RM100,056

Selain mampu mencatat kelajuan tertinggi hingga 90 batu per jam (mph), jenama canggih itu menampilkan elemen estetik seperti tempat duduk yang diperbuat daripada kulit asli dan bronze ring pada panel instrumen.

Lebih mencuri tumpuan, sistem AI yang dipertingkatkan pada varian tersebut berupaya memberi amaran awal jika terdapat halangan di sekeliling, selain mampu berkomunikasi dengan penunggang melalui isyarat haptik.

Energica Eva Ribelle

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Energica Motor Company (Itali)
  • Harga: Bermula RM92,385

Sama seperti jenama motosikal elektrik lain, Energica Eva Ribelle mampu memecut hingga 60mph dalam tempoh 2.8 saat, selain boleh mencapai jarak sejauh 400km.

Selain tempoh caj hanya 42 minit, varian sofistikated itu juga didatangkan dengan ciri unik. Antaranya, pencucuhan tanpa kunci, kawalan pelayaran, cengkaman pemanas yang selesa dan panel serat karbon canggih.

 


Horwin CR6

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Horwin Global (Austria)
  • Harga: Bermula RM 31,684.40

Salah satu jenama yang boleh dikatakan mampu milik kerana harganya lebih murah berbanding varian motosikal elektrik lain.

Iklan

Horwin CR6 didatangkan dengan dua pilihan iaitu CR6 dan CR6 Pro dan memiliki enjin lebih senyap. Ia juga dilengkapi dengan kawalan gelombang persegi yang membolehkan pecutan pantas dan jimat tenaga, selain pencucuh tanpa kunci dan sistem amaran kecurian.

 

Harley-Davidson LiveWire

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Harley-Davidson Motor Company (Amerika Syarikat)
  • Harga: Bermula RM124,232

Kualiti dan prestasi jenama terkemuka keluaran Amerika Syarikat itu memang tidak dinafikan lagi. Bahkan varian terbaharu, Harley-Davidson LiveWire yang dipadukan dengan kuasa elektrik dikatakan hebat kerana mampu mencapai pecutan hingga 60mph.

Selain menawarkan jarak penunggangan sejauh 234 kilometer (km), fitur canggih tersebut berupaya mencapai kelajuan tertinggi hingga 95mph.

Iklan

 

Arc Vector

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Arc Vehicle (United Kingdom)
  • Harga: Bermula RM491,942

Salah satu varian motosikal elektrik berkualiti tinggi di dunia. Lihat sahaja reka bentuk futuristik yang mampu membuatkan peminat terkesima dengan pecutan hingga 60mph.

Bukan sahaja dikagumi dari segi kecanggihan teknologi yang diguna pakai, bahkan fitur tersebut memiliki mod kuasa boleh ubah dan kawalan cruise, sekali gus meletakkan Arc Vector dalam kelasnya tersendiri. – Arziana Mohmad Azaman

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram