Jom pekena nasi kandar, mi sotong di Pulau Pinang
JIKA merancang mengisi kalendar hujung minggu bercuti bersama teman atau famili di Pulau Pinang, jangan lupa singgah menikmati variasi makanan istimewa yang disajikan di sana terutamanya nasi kandar.
Tidak lengkap diari gastronomi ke Pulau Mutiara tanpa ‘pekena‘ nasi kandar dan nasi beriani. Kombinasi hidangan nasi yang hadir bersama kuah kari banjir pelbagai rasa dan ayam goreng panas sudah cukup membangkitkan selera.
Justeru, bagi mereka yang ingin merasai keenakan asli menu berkenaan sebelum menyusuri masuk ke Jambatan Pulau Pinang 1, jom singgah sebentar di Restoran Hameediyah Jalan Baru.
Berpangkalan di Medan Perniagaan Pauh Jaya Perai, restoran yang dibuka sejak empat tahun lalu itu menyajikan lebih 30 hidangan. Antaranya nasi kandar kuah campur, nasi beriani, martabak, nasi minyak, nasi dalca, roti nan dan tosai.
Menurut pengusahanya, Abdul Majid Abdul Hamid, Restoran Hameediyah Jalan Baru tersebut merupakan cawangan baharu selepas cawangan pertama beroperasi di Lebuh Campbell, Georgetown sejak tahun 1907.
“Melihat pada permintaan sajian nasi kandar dan beriani yang meningkat dari masa ke masa, maka kami membuka restoran baharu di Seberang Perai.
“Lokasi itu (Seberang Perai) menjadi pilihan kerana pelanggan di utara mahupun selatan tak perlu lagi bersusah-payah meredah kesesakan menuju ke restoran di Lebuh Campbell.
“Di sini, lauk-pauk semua sama kecuali konsep dan dekorasi berbeza,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Berbicara lanjut mengenai signatur utama Restoran Hameediyah Jalan Baru, Abdul Majid menjelaskan, nasi beriani dan martabak sentiasa menjadi pilihan pelanggan.
“Keistimewaan beriani kami terletak pada gabungan rempah-ratus dengan mengunakan resipi keluarga secara turun-temurun.
“Menariknya, nasi beriani di sini bukan sahaja enak dimakan begitu sahaja, bahkan bertambah lazat apabila dinikmati bersama lauk sampingan seperti ayam goreng bawang dan kuah kari itik, ikan, daging ataupun ayam.
“Bukan itu sahaja, para pelanggan juga jangan melepaskan peluang menikmati sajian martabak daging atau ayam yang padat dengan limpahan isi dan dilapisi telur.
“Bagi menambahkan rasa, pastikan anda mencicah martabak di dalam kuah bawang yang juga dihasilkan daripada resipi keluarga,“ jelasnya mengenai tarikan Restoran Hameediyah Jalan Baru yang beroperasi bermula dari pukul 11 pagi hingga 10 malam.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pada sebelah malam pula pihak restoran akan menyediakan nasi minyak dan nasi dalca yang serasi digaul bersama ayam goreng panas termasuk kuah campur.
4 menu sampingan
Selain hidangan nasi kandar dan nasi beriani, Pulau Pinang yang pernah dipilih sebagai lokasi syurga makanan oleh media antarabangsa juga popular dengan sajian lain.
Antaranya mi sotong, rojak, roti canai dan laksa serta manisan seperti ais batu campur dan cendol pelbagai perasa.
Tak percaya? Menerusi segmen Jom Singgah minggu ini, SinarPlus kongsikan empat lokasi tambahan makanan yang harus dikunjungi.
Foto: MAI SINGGAH.COM, FOURSQUARE dan FACEBOOK HAMEEDIYAH RESTAURANT JALAN BARU
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang