Nasi Kebuli Pahang sajian istana di zaman silam. Guna banyak bahan, tapi keenakannya 'memang terangkat'

A
A
A

TIDAK keterlaluan untuk dikatakan, sajian Nasi Kebuli Pahang tidaklah sepopular seperti nasi kerabu, nasi ambeng ataupun nasi minyak yang mudah dibeli atau dimasak di rumah.

Hal itu turut diakui oleh Halimi Hassan yang bukan sahaja mahir membikinnya, malah turut mengusahakan masakan itu di bawah jenama Bo's Kitchen lebih sedekad lalu.

Ketika dihubungi, Halimi berkata, menu yang cukup sinonim dengan penduduk di daerah Kuala Lipis, Pahang itu dipercayai telah wujud sekitar 100 tahun dahulu.

Teknik penyediaannya juga mempunyai pengaruh dari negara Asia Barat, kata beliau.

"Berdasarkan catatan Muzium Warisan Kuala Lipis, Nasi Kebuli Pahang pernah dihidangkan kepada Sultan Pahang sekitar tahun 1940-an. Ceritanya dikatakan bermula apabila Sultan bersama 60 rombongan telah singgah di sebuah lokasi dipercayai di Kampung Jeram Landak, Kuala Lipis.

"Penduduk kampung kemudiannya sepakat bergotong-royong menyediakan masakan tersebut yang merupakan singkatan bagi Kebawah Duli (Keduli) Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Itulah serba sedikit sejarahnya," kongsinya.

Pun demikian, entah di mana silapnya, sajian berkenaan semakin dilupakan dan hampir tidak dikenali oleh generasi sekarang.

Namun, melihat cara pembuatannya, SinarPlus mendapati, ia nampak sedikit rumit dan memerlukan sejumlah ramuan yang agak banyak.

Seperti resipi yang dikongsikan oleh Halimi, terdapat tiga bahagian menu yang perlu dimasak secara berasingan iaitu nasi kebuli itu sendiri, ayam goreng dan menu pelengkapnya yang dipanggil stu Mediterranean.

Stu Mediterranean terdiri daripada pelbagai campuran sayur-sayuran seperti kacang buncis, zucchini, terung, lobak merah dan kentang.

"Dahulu, Nasi Kebuli Pahang dihidangkan bersama ayam goreng tetapi resipi tersebut telah diubah mengikut cita rasa sekarang yang rata-ratanya menikmatinya dengan kambing atau daging, di samping stu Mediterranean.

"Campuran ramuan rempah-ratus perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan rasanya," ujarnya yang mempelajari kulinari itu sendiri selepas mendapat ilham setelah menghadiri sebuah program di Pos Betau, Kuala Lipis bersama isterinya, Rokiah Abdul Kadir.

Halimi Hassan dan Rokiah Abdul Kadir

Resipi Nasi

Kebuli Pahang

(Untuk empat orang makan)

Bahan-bahan untuk ayam

1 ekor ayam (ayam diperap selama tiga hingga lima jam)

2 sudu besar serbuk kunyit

½ sudu besar garam

4 helai daun limau purut

6 ulas bawang putih (dikisar)

200 gram cili padi

Bahan-bahan tumis

½ bawang merah (dihiris)

½ cawan ketumbar

½ cawan lada hitam

3 batang serai (dititik)

Bahan-bahan nasi

Beras basmati

Air rebusan ayam (mengikut sukatan nasi)

Bahan-bahan stu Mediterranean

300 gram kacang buncis (dipotong dadu)

1 batang zucchini (dipotong dadu)

1 batang terung (dipotong dadu)

1 batang lobak merah (dipotong dadu)

4 biji kentang (dipotong dadu)

1 tin kacang kuda

1 tin pes tomato

1 biji bawang besar

3 ulas bawang putih

1 sudu besar serbuk cili

1 sudu besar jintan putih

½ sudu besar serbuk paprika

Cara-cara penyediaan:

Tumis bahan-bahan (bawang merah dan serai).

Masukkan lada hitam, ketumbar dan air.

Masukkan ayam.

Masak ayam sehingga mendidih, kemudian ambil air rebusan untuk digunakan bagi memasak nasi.

Keluarkan ayam dan toskan air sehingga kering dan goreng dalam minyak panas sampai warna jadi keperangan.

Pastikan beras basmati telah dibersihkan terlebih dahulu dan rendamkan dengan air rebusan ayam selama 20 hingga 30 minit sebelum memasak.

Cara penyediaan stu Mediterranean:

Tumis bawang besar dan putih.

Campurkan serbuk paprika, serbuk cili, jintan putih dan pes tomato

Campur lobak merah, kentang dan air

Masak sehingga mendidih.

Masukkan bahan-bahan lain.

Bagi memekatkan kuah, campurkan dengan sedikit tepung jagung.

Masak selama 20 minit.

Sumber Halimi Hassan

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca